Pages

Saturday, April 18, 2009

KASINO

PEMBUKAAN Marina Bay Sands akhir tahun ini dan Resorts World di Sentosa tahun depan menjanjikan pulangan yang cukup lumayan dari segi pelancongan dan juga pekerjaan bagi warga Singapura.

Namun Penguasa Pengawalan Kasino (CRA) yang ditugaskan mentadbir dan menguatkuasa Akta Kawalan Kasino perlu memastikan ia tidak dibelenggu masalah jenayah dan sosial, kata Timbalan Perdana Menteri Wong Kang Seng.

'Sebagai kuasa kasino yang baru, kumpulan jenayah tersusun melihat Singapura sebagai sasaran mudah. Selain itu kegiatan yang tidak diingini seperti pelacuran, pinjaman wang haram, penipuan dan pemalsuan juga dikaitkan dengan kasino.

'Lantas CRA yang bekerja rapat dengan polis mesti membangunkan keupayaan penyiasatan dan penguatkuasaan bagi mengawal kegiatan haram itu,' ujar Encik Wong lagi.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pelan Kerja CRA yang diadakan di Auditorium Kompleks Polis Cantonment, semalam.

Lebih 150 orang dari pelbagai agensi pemerintah, termasuk Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) dan pasukan Home Team menghadiri seminar itu.

Selain jenayah tersusun, CRA menurut Encik Wong juga perlu berwaspada terhadap kegiatan pembersihan wang dan jenayah yang dilakukan mereka yang bersubahat dengan kakitangan kasino.

Pasukan polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akan membuka Pusat Polis Kejiranan dan Stesen Bomba di kawasan Marina Bay supaya ia dilestarikan dengan pembangunan di Marina.

Jabatan Siasatan Jenayah (CID) akan juga menubuhkan Cawangan Siasatan Kasino atau CIB yang akan ditempatkan di kedua-dua kasino bersama-sama dengan CRA.

Menurut Pengerusi CRA, Encik Richard Magnus, pihaknya telah mengambil 70 pekerja bagi persediaan pembukaan kedua-dua kasino itu.

Pihaknya perlu memastikan Akta Kawalan Kasino dapat melindungi industri itu dengan memastikan kegiatan di kasino dijalankan secara jujur dan bebas jenayah.

No comments:

Posting Terkini