Pages

Saturday, April 18, 2009

$20B BAGI PROJEK PRASARANA

Singapura: PEMERINTAH akan melabur sehingga $20 bilion bagi pelaksanaan pelbagai projek prasarana bagi merangsang ekonomi tahun ini.

Turut dalam perancangan ialah pelaburan antara $15 bilion dengan $17 bilion bagi tahun depan dan 2011.

Ini diumumkan Menteri Pembangunan Negara, Encik Mah Bow Tan, di seminar Pelan Korporat 2009 anjuran Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), semalam.

Di majlis yang diadakan di Swissotel Merchant Court dekat Clarke Quay itu, Encik Mah berkata, pelaburan besar ini dibuat bagi meningkatkan daya saing Singapura dalam merebut peluang masa depan apabila ekonomi pulih.

Bertemakan 'A New Singapore: New City, Better Life' (Singapura Yang Baru: Kota Yang Baru, Kehidupan Lebih Baik), projek pembinaan jangka panjang ini akan mengindahkan wajah keseluruhan pulau ini.

Kawasan pusat bandar seperti di Marina Bay akan diperindahkan dengan jambatan kembar berlingkar, taman seni, taman di pesisiran dan pesiaran baru yang akan selesai dibina menjelang 2011.

Selain pelaburan hampir $5.7 bilion bagi kerja-kerja prasarana di Marina Bay, pemerintah juga akan melabur lebih banyak lagi bagi mempertingkatkan rangkaian perhubungan di bandar itu termasuk membina terowong pelbagai guna, jambatan, persiaran dan jalan raya dan rangkaian kereta api yang baru.

Kawasan Orchard Road akan turut diperindahkan demi menyediakan kepelbagaian bagi orang ramai membeli-belah dan bersantai.

Pemerintah juga akan mewujudkan kawasan komersil serantau yang baru.

Kawasan Jurong Lake umpamanya, kini sedang giat dibangunkan semula termasuk mempertingkatkan kemudahan pengangkutan awam bagi meningkatkan kemudahan hubungan di kawasan itu dalam masa tiga tahun.

Bagi mereka yang gemar 'bermesra' dengan alam semula jadi, pemerintah akan menyediakan lebih banyak taman permainan yang menawarkan pilihan luas.

Fasa pertama Taman di Pesisiran umpamanya, akan selesai dibina menjelang 2011 di samping rangkaian laluan penghubung taman yang akan dipertingkatkan sehingga 300 kilometer dalam masa 5 hingga 10 tahun akan datang.

Pusat tarikan pelancong yang baru, seperti safari sungai di Mandai pula akan dibuka kepada awam pada 2011.

Kawasan selatan akan turut dipertingkatkan dengan pusat tarikan baru di Bukit Chermin, Harbourfront, Labrador dan Sentosa.

Kawasan perumahan tidak diketepikan kata Encik Mah, dengan Program Mencipta Semula Estet Kejiranan (ROH) kini giat dijalankan di estet Punggol, Dawson, Clementi dan Yishun.

Malah, penduduk akan menikmati daya tarikan baru - Pesiaran Pesisiran Punggol dan Taman di Punggol Point mulai tahun depan.

Tarikan serupa turut diadakan di Woodlands dengan sebuah persiaran sepanjang 1.5km dan taman seluas sembilan hektar dibina di sepanjang pesisir Woodlands yang menawarkan pemandangan luas Selat Johor.

No comments:

Posting Terkini