Pages

Saturday, April 18, 2009

Jambatan Bengkok

KERAJAAN Malaysia belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu meneruskan pembinaan 'jambatan bengkok' menyeberangi Selat Johor, kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selepas menyampaikan ucapan pada penutupan Forum Asean dan Asia Kedua di sini semalam, beliau ditanya mengenai banyak gesaan, terutama di kalangan ahli politik dan perniagaan Johor, agar kerajaan Malaysia menimbang semula keputusan yang dibuat pada 2006 untuk membatalkan projek jambatan bengkok itu.

Menurut mereka pembinaan jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan menyediakan peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

Ditanya mengenai keutamaannya sejak memegang jawatan, Tan Sri Muhyiddin berkata perkara paling penting dalam fikirannya ialah menguruskan dan mengemudi ekonomi keluar daripada kemelesetan.

'Pakej rangsangan kedua yang diumumkan (Malaysia) baru-baru ini merangkumi usaha menyeluruh bagi melindungi kebajikan penduduk dan memastikan ketahanan ekonomi.

'Perbelanjaan sebanyak RM60 bilion ($25 bilion) akan membawa bersama pertumbuhan berterusan dan menyediakan pekerjaan menerusi pelbagai projek prasarana dan peluang latihan,' katanya.

Forum anjuran Institut Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA) itu diadakan di Hotel Meritus Mandarin. Antara lain ia membincang dan menilai peranan Asean dalam konteks lebih luas dalam Asia serta peranan lebih aktif pertubuhan itu dalam krisis sejagat masa kini.

Di forum tersebut, Tan Sri Muhyiddin turut memberi pendapatnya tentang sekitaran ekonomi dan kewangan sejagat.

'Ada banyak lagi bahaya dan cabaran dan banyak lagi perlu dilakukan sebelum keadaan pulih sedia kala. Dasar perlindungan dalam apa bentuk jua tidak boleh diamalkan,' ujarnya.

No comments:

Posting Terkini