Pages

Friday, April 10, 2009

171 JUTA RAKYAT KELUAR MENGUNDI

JAKARTA: Sekitar 171 juta rakyat Indonesia semalam keluar mengundi dalam Pilihan Raya Parlimen yang bakal menentukan sama ada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mendapat cukup sokongan untuk meneruskan penggal pemerintahan lima tahun kedua.

Mereka mengundi di lebih 512,000 pusat mengundi di semua 33 wilayah yang dibuka mulai 7 pagi ini hingga jam 12 tengahari.

Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) mengerahkan hampir lima juta petugas bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.

Ini tidak termasuk puluhan ribu polis dan tentera serta ratusan ribu pemantau dan pemerhati daripada parti politik yang bertanding.

Sebanyak 38 parti politik bertanding di peringkat nasional, sementara enam parti politik tempatan di Aceh bertanding bagi pemilihan peringkat daerah.

Parti Demokrati pimpinan Dr Yudhoyono dijangka memenangi sebahagian besar kerusi dalam pilihan raya Parlimen ini.

Menurut tinjauan terbaru, parti itu mungkin meraih sehingga 29 peratus undi berbanding 7.5 peratus yang diraih pada 2004.

Ini akan membuka jalan bagi Dr Yudhoyono bertanding bagi mempertahankan jawatannya dalam Pilihan Raya Presiden yang bakal berlangsung pada Julai ini dengan mandat lebih kukuh.

Turut mengundi ialah hampir 1.5 juta rakyat Indonesia yang bekerja di luar negara.

Pilihan raya semalam menyaksikan rakyat memilih calon bagi mengisi 560 kerusi di Parlimen daripada sejumlah 11,301 calon.

Mereka juga akan memilih 132 anggota Dewan Perwakilan Daerah (DPD) daripada 1,116 calon di seluruh negara yang merangkumi lebih 17,000 kepulauan itu.

'Saya berharap Ahli Parlimen akan dapat membantu mengurangkan harga semua barangan,' kata Cik Sukinah, 79 tahun, selepas membuang undi di Yogyakarta.

Sementara itu, sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan sebuah pondok polis diserang dalam insiden keganasan lewat kelmarin.

Keganasan yang tercetus semalaman itu bertujuan menggangu proses pilihan raya.

Keputusan rasmi pilihan raya Parlimen dijangka hanya akan diumumkan dalam tempoh beberapa hari mendatang. -- AFP, AP, Reuters.

No comments:

Posting Terkini