Pages

Wednesday, March 25, 2009

SEKILAS - DUNIA

Maut diserang Naga Komodo

JAKARTA: Dua ekor Naga Komodo, spesies biawak terbesar di dunia, membaham hingga mati seorang pengutip buah di Pulau Komodo, timur Indonesia, kelmarin.

Sarjan Polis Kosmas Jalang berkata bahawa Encik Muhamad Anwar, 31 tahun, diserang di pulau itu, salah satu daripada empat pulau di Jawa yang didiami reptilia raksasa itu, selang beberapa minit beliau jatuh dari pokok nona. -- AP.

'Spiderman' selamat budak

BANGKOK: Seorang anggota bomba Thailand menjadi superhero apabila beliau bertindak menukar pakaiannya untuk menjadi wira komik Spiderman bagi memujuk dan menyelamatkan dari sebuah balkoni seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang ketakutan, kata polis semalam.

Guru-guru di sebuah sekolah khas di Bangkok memanggil pihak berkuasa kelmarin apabila seorang murid autistik, yang takut pada hari pertamanya di sekolah itu, duduk bertenggek di belebas di tingkat tiga bangunan sekolah itu dan enggan masuk dalam bilik darjah, kata seorang sarjan polis.

Walaupun guru-gurunya berusaha memujuk kanak-kanak lelaki itu, dia enggan turun sehingga ibunya berkata bahawa kegemaran anaknya ialah superhero dan ini mendorong seorang anggota bomba, Encik Sonchai Yoosabai, menyarung pakaian Spiderman. -- AFP.

Badan kebajikan biayai militan?

DHAKA: Pihak berkuasa Bangladesh semalam berkata mereka sedang menyiasat puluhan pertubuhan kebajikan Islam di negara miskin itu berhubung dakwaan mereka membiayai gerakan kumpulan militan.

Menteri Kewangan, Encik A. M. A. Muhith, berkata bahawa pemerintah Bangladesh telah memutuskan untuk melancarkan siasatan selama sebulan selepas berlaku satu dahagi (pertentangan terbuka) di sebuah pangkalan tentera di ibu kota ini.

Pihak berkuasa mengesyaki anggota militan memainkan peranan penting dalam dahagi tersebut. -- AFP.

Sukar siasat nahas udara

BUTTE (Montana): Pakar-pakar keselamatan Amerika Syarikat berkata mencari punca nahas pesawat kecil di Montana yang mengorbankan 14 jiwa dijangka amat sukar kerana ketiadaan kotak hitam, maklumat radar dan alat perakam maklumat penerbangan.

Para penyiasat berkata bahawa siasatan mungkin mengambil masa berbulan-bulan.

Mereka mengandaikan nahas itu berpunca sama ada daripada jumlah penumpang yang berlebihan atau salji tebal. -- AP.

No comments:

Posting Terkini