Pages

Tuesday, March 29, 2011

‘Tolak Politik Durjana’


KUALA LUMPUR:  Video fitnah terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menandakan bermulanya krisis kehancuran politik negara pada masa hadapan.
Lebih mengecewakan, ia berlaku pada masa rakyat sedang bergelut dalam menghadapi krisis kenaikan harga barang dan kos kehidupan yang semakin meruncing.
Demikian dinyatakan Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, sewaktu melancarkan kempen ‘Tolak Politik Durjana’, yang bertujuan menangkis serangan politik lucah dan kotor yang dibawa Umno-Barisan Nasional.
“Dalam krisis peningkatan harga barang yang terus membebankan rakyat, kerajaan harus bekerja memikirkan usaha membantu rakyat, dan bukan hanya membazirkan wang rakyat dengan agenda fitnah sebegini,” kata Zuraida merujuk kepada serangan terbaru terhadap Anwar.

Zuraida seterusnya menyeru agar semua badan bukan kerajaan (NGO) wanita bersama menolak politik durjana kerana fitnah yang disebarkan, bukan sahaja memalukan negara kita, tetapi juga menghina imej wanita di negara ini.
“Seluruh negeri, setiap pelosok di negara ini akan kami masuki, agar pendedahan strategi kotor ini dapat disebarkan, dan biar rakyat menilai dan sedar betapa jijiknya politik Umno-BN selama ini,” kata beliau sambil mengingatkan Umno-BN bahawa Wanita KEADILAN tidak akan bertolak ansur dengan politik kotor sebegitu.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo Lo Ghazali yang turut sama ada pada sidang media itu menyatakan episod terbaru dalam politik negara itu menampakkan betapa kerajaan sebenarnya hilang fokus dalam membangunkan negara.
“Di Jepun, orang lain sibuk mengutip sisa kehidupan membangunkan negara mereka. Tetapi kita pula sibuk meruntuhkan negara (dengan fitnah sebegini),” kata Dr Lo Lo.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Abdullah Sani yang turut memberikan sokongan beliau kepada kempen itu menegaskan bahawa rakyat akan bertindak jika kerajaan terus mengamalkan politik sebegini rupa.
“Kalau ini pendekatan yang kerajaan ambil, rakyat akan bangkit dan menentang,” kata Abdullah Sani.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berhadapan dengan fitnah ketiga yang cuba mengaitkan beliau dengan video aksi seks palsu yang didalangi seteru lama politiknya, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan ahli perniagaan Shazryl Eskay Abdullah.
Bagaimana pun Anwar mengecam keras fitnah jahat berkenaan yang dilakukan untuk mengaibkan beliau seisi keluarga.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul dan bekas Anggota Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Badrul Hisham Shaharin yang dibawa menyaksikan video itu sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya individu dalam rakaman berkenaan adalah Anwar.

No comments:

Posting Terkini