Pages

Wednesday, February 9, 2011

Mubarak ikrar naikkan gaji sektor awam, arah siasat keganasan


KAHIRAH: Presiden Mesir, Encik Hosni Mubarak, cuba berlengah-lengah dalam menghadapi tunjuk perasaan dengan berikrar akan menaikkan gaji sektor awam sebanyak 15 peratus sambil memerintahkan siasatan ke atas keganasan-keganasan terbaru.

Pemimpin berusia 82 tahun itu telah menemui kabinet berwajah barunya buat kali pertama kelmarin sedang rejimnya berjuang bagi menggerakkan semula ekonomi di tengah-tengah pemberontakan berterusan di sebuah dataran di Kahirah sejak 25 Januari.

Menurut agensi berita rasmi Mena, kabinet meluluskan satu rancangan menaikkan gaji sektor awam 15 peratus dari April dan mengeluarkan belanja lagi 6.5 bilion paun Mesir (kira-kira $1.2 bilion) sebagai tambahan kepada skim pencen.


Encik Mubarak juga berikrar melancarkan satu penyiasatan 'bebas' terhadap keganasan berdarah antara penyokongnya dengan pemberontak Rabu lalu di Dataran Tahrir yang telah mengakibatkan 11 orang maut dan hampir 1,000 cedera, mengikut anggaran rasmi.

Presiden itu 'telah memberi arahan bagi pembentukan sebuah... suruhanjaya penyiasatan yang telus, bebas dan adil,' lapor Mena.

Suruhanjaya itu akan menyiasat 'pencabulan-pencabulan yang tidak boleh diterima yang membuat beberapa pemberontak menjadi mangsa tidak berdosa,' kata Mena lagi.

Kenaikan gaji itu mungkin melegakan hati para pemihak dalam pasukan keselamatan dan birokrasi Encik Mubarak, namun tiada tanda-tanda pemberontak sedia berundur.

Sementara itu, Amerika Syarikat menggesa Mesir supaya mendukung perjanjian-perjanjian yang ada, kelihatan merujuk kepada persetujuan keamanan negara itu dengan Israel.

Washington 'akan menjadi rakan' kepada pemerintah Mesir yang 'akan mendukung persetujuan dan kewajipan' yang membatasi Mesir, kata jurucakap Presiden Barack Obama, Encik Robert Gibbs.

Dalam langkah lain bagi menggerakkan semula ekonomi, perintah berkurung di beberapa bandar termasuk Kahirah telah diundurkan kepada 8 malam hingga 6 pagi dan bursa saham Mesir dibuka Ahad.

Ahad lalu, Timbalan Presiden, Encik Omar Suleiman, cuba menenangkan pemberontak dengan mengundang beberapa kumpulan pembangkang menyertai satu panel bagi memulakan pembaharuan demokratik.

Pemerintah Mesir berkata parti-parti itu bersetuju menubuhkan jawatankuasa bagi menyemak pindaan perlembagaan sebelum Mac.

Namun Encik Suleiman menolak satu lagi tuntutan utama pembangkang dengan mengatakan beliau tidak boleh menggantikan Encik Mubarak ketika proses peralihan itu.

Pemberontak tidak berpuas hati dan berikrar akan terus melancarkan bantahan. -- AFP

No comments:

Posting Terkini