Pages

Wednesday, March 25, 2009

KOREA U MUNGKIN DAKWA DUA WARTAWAN AS INTIP

SEOUL: Para pegawai perisikan Korea Utara di Pyongyang kini menyoal siasat dua wartawan wanita warga Amerika Syarikat yang ditahan dekat sempadan dengan China minggu lepas.

Mereka besar kemungkinan akan didakwa melakukan pengintipan, menurut laporan semalam.

Cik Laura Ling dan Cik Euna Lee, dua wartawan rangkaian televisyen Current TV berpangkalan di San Francisco, kini menjalani 'soal siasat tubi', lapor akhbar JoongAng Ilbo, yang menukil seorang pegawai perisikan Korea Selatan.

Para pegawai meneliti buku catatan, pita video dan kamera untuk mencari bukti mereka melakukan pengintipan ke atas kemudahan tentera Korea Utara.

Akhbar tersebut berkata kedua-dua wartawan dipindahkan ke sebuah rumah penginapan kawalan rapi di pinggir Pyongyang sehari selepas mereka ditahan pada 17 Mac lalu.

Di Washington, Jabatan Negara mengesahkan dua wartawan Amerika ditahan di Korea Utara.

Seorang pegawai Amerika berkata Sabtu lalu bahawa Washington telah menghubungi perwakilan Korea Utara.

Oleh kerana Washington tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Pyongyang, pegawai perisikan Amerika meminta bantuan Korea Selatan mendapatkan maklumat di mana dua wartawan itu berada, lapor akhbar tersebut.

Jika didapati bersalah atas tuduhan melakukan pengintipan, mereka boleh dikenakan hukuman setidak-tidaknya penjara lima tahun di bawah undang-undang Korea Utara, kata Kementerian Penyatuan Korea Selatan.

Namun akhbar JoongAng Ilbo berkata kesalahan menyeberang sempadan secara haram dan mengintip kemudahan tentera Korea Utara boleh membawa hukuman sehingga 20 tahun penjara bagi setiap wartawan itu. -- AP, AFP.

No comments:

Posting Terkini