Pages

Tuesday, March 17, 2009

DEMAM PILIHAN RAYA PARLIMEN INDONESIA BERMULA

JAKARTA: Indonesia melancarkan semalam kempen pilihan raya bagi menentukan pembaharuan masa depannya dalam menarik pelaburan dan menambah pertumbuhan ekonomi. Ratusan ribu rakyatnya menyertai perhimpunan berwarna-warni sambil melambai-lambai bendera menjelang pilihan raya parlimen pada 9 April.

Ini akan disusuli pilihan raya bagi memilih presiden negara itu pada 8 Julai.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, yang telah melaksana sebahagian janjinya untuk menghasilkan pekerjaan, menangani rasuah dan mengukuhkan keselamatan di negara itu, serta Parti Demokrat beliau mendahului parti pesaing dalam tinjauan pandangan rakyat menjelang pilihan raya.

'Dalam tempoh presidennya, Indonesia menikmati kestabilan dan ekonominya juga agak baik,' kata seorang pengamat politik, Encik Syamsuddin Haris, sambil merujuk kepada kedudukan Dr Yudhoyono dalam tinjauan itu.

Sejauh ini, Indonesia, yang meraih pertumbuhan ekonomi sebanyak 6 peratus sejak dua tahun lalu, telah juga dapat mengelak krisis kewangan global, tambah Encik Haris, daripada Institut Sains Indonesia (LIPI).

Pemerintahan yang diterajui Dr Yudhoyono, khususnya partinya, yang memenangi kerusi terbesar, mungkin boleh membantu melaksana lebih banyak pembaharuan, dengan dasar-dasar yang tertumpu pada pertumbuhan dan penghasilan pekerjaan.

Namun, jika beliau sekali lagi bergantung pada campuran parti-parti politik bagi mendapatkan sokongan, ia boleh menghalang keupayaan beliau mendorong pembaharuan dan mengadunkan barisan teknokratnya dengan pelbagai kepentingan kumpulan lain.

Perhimpunan-perhimpunan di jalan raya tidak dijadual bermula sehingga hari ini, tetapi wakil puluhan parti politik telah berkumpul di Jakarta semalam untuk menandatangani satu perisytiharan mengadakan kempen aman.

Ahli politik, sambil berpegangan tangan di atas pentas di sebuah pusat konvensyen di Jakarta, berikrar akan mengadakan kempen berdisiplin dan aman.

Para penyokong berpakaian seragam mengikut warna parti mereka berdiri dan menyanyi lagu kebangsaan negara itu, sambil mengibarkan bendera parti masingmasing.

Dr Yudhoyono, yang mengasaskan Parti Demokrat, tidak menghadiri majlis itu tetapi beberapa pemimpin daripada 38 parti akan mengambil bahagian.

'Saya mengundang semua rakyat Indonesia menyertai secara aktif pilihan raya 2009. Mari kita mengajukan proses demokrasi dengan baik dan berkempen secara aman,' kata Dr Yudhoyono dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen. -- Reuters.

No comments:

Posting Terkini