Pages

Tuesday, March 17, 2009

Sekilas Berita Dunia

Gesa siasat salah laku konflik Gaza

LONDON: Sekumpulan hakim dan penyiasat hak asasi paling berpengalaman di dunia semalam menggesa diadakan satu siasatan antarabangsa penuh terhadap dakwaan salah laku undang-undang antarabangsa berhubung konflik di Gaza.

Dalam satu surat terbuka yang disokong oleh pertubuhan hak asasi Amnesty International, mereka menekankan perlunya diadakan siasatan terhadap 'semua pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang dilakukan oleh semua pihak dalam konflik itu'.

Surat itu menyatakan bahawa siasatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 'tidak seharusnya terbatas pada serangan-serangan yang dibuat ke atas kemudahan-kemudahan PBB sahaja'. -- AFP.

PM Thai hadapi undi tidak yakin

BANGKOK: Satu usul undi tidak yakin terhadap Perdana Menteri Thailand, Encik Abhisit Vejjajiva, dan lima menteri lain dijadualkan pada Sabtu ini, kata seorang ahli parlimen parti Demokrat semalam.

Para pengamat bagaimanapun berkata kerajaan Thai yang ada kelihatan pasti dapat bertahan kerana pihak yang membangkangnya tidak mampu mendapat sokongan separuh ahli parlimen untuk mengundi bersama mereka.

Pembangkang utama, Parti Puea Thai, yang rapat dengan bekas perdana menteri, Encik Thaksin Shinawatra, telah membuat usul itu pada 12 Mac lalu, sambil menuduh Encik Abhisit dan lima menterinya itu menyalah guna kuasa. -- Reuters.

No comments:

Posting Terkini