Pages

Monday, March 9, 2009

BOLEH DIPECAT JIKA KE MAHKAMAH HALANG PERHIMPUNAN AGUNG

KUALA LUMPUR: Keanggotaan dua ahli Umno yang bercadang memohon perintah mahkamah bagi menghalang perhimpunan agung parti itu, Umno yang dijadualkan pada 24 hingga 28 Mac, boleh digugurkan, seperti termaktub dalam perlembagaan parti, kata Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Satu Laporan akhbar Berita Harian Malaysia semalam memetik Datuk Seri Abdullah, yang juga Perdana Menteri Malaysia, sebagai berkata Ketua Umno Cawangan Bandar Muar, Datuk Kadar Ninam Shah, dan ahli Umno Bahagian Subang, Datuk Mazlan Harun, harus bersedia menghadapi tindakan jika mereka meneruskan niat membawa masalah Umno ke mahkamah.

'Seseorang ahli Umno tidak boleh berbuat begitu (membawa kes ke mahkamah) kerana ia berlawanan dengan perlembagaan Umno,' kata beliau dalam satu sidang media selepas melancarkan novel fantasi Dragonhead Hammer karya seorang penulis muda berusia 14 tahun, Adam Umemoto, di sini kelmarin.

Dua anggota Umno itu Selasa lalu dipetik oleh laman berita The Malaysian Insider sebagai berkata bahawa mereka akan memfailkan satu perintah mahkamah untuk menghalang perhimpunan agung parti itu kecuali setelah semua dakwaan 'politik wang' selesai disiasat.

Langkah dua anggota Umno itu dilihat sebagai satu usaha untuk menghalang parti tersebut menyokong kepimpinan timbalan presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata laporan itu.

Datuk Seri Najib telah memenangi jawatan Presiden Umno tanpa bertanding dan akan disahkan sebagai presiden parti itu semasa perhimpunan agungnya kelak.

Secara tradisi presiden Umno menjadi perdana menteri.

Namun, Datuk Mazlan menafikan andaian bahawa mereka sedang cuba menghalang aspirasi Datuk Seri Najib dengan berkata bahawa rancangan peralihan parti itu boleh diselesaikan pada bila-bila masa sahaja.

'Kami bukan mahu menghalang (Najib). Semua orang yang mencintai Umno harus mengambil perkara ini secara serius,' kata beliau dalam laporan The Malaysian Insider.

'Prosesnya harus diselesaikan mengikut perlembagaan parti dan undang-undang. Kami tidak terlibat dalam rancangan peralihan itu, ia boleh diselesaikan bila-bila masa sahaja,' tambahnya ketika ditemui wartawan.

Dua anggota Umno itu turut membuat dua laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (sekarang Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, atau SPRM) terhadap Datuk Seri Abdullah dan Datuk Seri Najib kerana didakwa terbabit dalam politik wang.

No comments:

Posting Terkini