Pages

Wednesday, March 4, 2009

Ahli Umno tiada hak bawa hal parti ke mahkamah

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib, berkata ahli Umno tidak mempunyai hak untuk membawa hal parti ke mahkamah.

Menurutnya, perkara ini jelas selepas pindaan dibuat kepada klausa dalam perlembagaan Umno selepas parti itu ditubuh semula selepas Umno diisytiharkan haram oleh mahkamah dulu.

"Satu klausa sudah dipinda...siapa yang bawa kes ke mahkamah dia dengan sendirinya gugur jadi ahli Umno," katanya menjawab satu persoalan yang ditimbulkan mengenai dua ahli Umno yang bercadang menghalang Perhimpunan Agung parti.

Persoalan ini ditimbulkan oleh seorang hadirin selepas Muhammad yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berucap pada majlis taklimat isu semasa Kementerian Penerangan mengenai 'Perkembangan Semasa Politik Negara: Mendapat Semula Keyakinan Rakyat' di Auditorium Perdana, Angkasapuri di sini, hari ini.

Semalam, seorang bekas Exco Pemuda Umno dan seorang perwakilan, berkata mereka bercadang memohon injunksi mahkamah bagi menghalang Perhimpunan Agung Umno pada 24 Mac, jika semua kes politik wang dalam parti itu tidak diselesaikan terlebih dahulu.

Kedua-dua mereka ialah bekas Exco Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Mazlan Harun dan perwakilan Umno Bahagian Muar, Datuk Kadar Shah Sulaiman Ninamshah.

Muhammad berkata, sebarang isu berkaitan Umno perlu dirujuk dan diselesaikan dalam parti itu sendiri kerana 'ini adalah dalam rumah tangga Umno sendiri'.

"Kita tidak hendak sewenang-wenangnya ahli Umno bawa kes ke mahkamah," katanya.

Beliau berkata, jika Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno meneruskan survival pada masa akan datang, maka ia mesti berupaya membawa pembaharuan untuk menghadapi isu baru serta kehendak dan aspirasi generasi muda sekarang.

Menurutnya, rakyat pelbagai kaum di negara ini sebenarnya masih suka kepada BN dan juga dasarnya seperti menyusun semula masyarakat dan pembangunan yang dibawa.

"Tapi kita kena muktamadkan...terutama (peka) kepada masyarakat minoriti. Contohnya masyarakat India. Saya fikir kita tidak boleh mengetepikan jeritan dan laungan mereka ini. Umno, MCA dan MIC kena tengok supaya terus relevan dalam keadaan hari ini," katanya.

Mengenai krisis politik di Perak, Muhammad berkata, dari aspek undang-undang, kerajaan negeri pimpinan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir adalah sah kerana dilantik oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, mengikut kuasa yang ada pada baginda selepas difikirkan baginda bahawa Dr Zambry mempunyai sokongan majoriti dari segi angka, dan tidak berlaku rampasan kuasa seperti dakwaan pakatan pembangkang.

Justeru itu, katanya, apa yang dikatakan pemimpin pakatan pembangkang, seperti Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwa kononnya kerajaan negeri sekarang adalah haram dan tidak mengikut hukum syarak, hanyalah mainan politik untuk mengelirukan serta meraih simpati rakyat terutama menjelang pilihan raya kecil kawasan Parlimen Bukit Gantang.

"Penubuhan kerajaan negeri adalah berdasar undang-undang tubuh negeri. Jadi hukum syarak tidak pakai. Jadi Nik Aziz nampaknya benar-benar main politik. Pemimpin DAP pula main sentimen politik bahawa orang Cina kehilangan kuasa," katanya kepada selepas majlis taklimat itu.

Menurutnya, selepas selesai pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu, tumpuan semua pihak termasuk pakatan pembangkang seharusnya ke arah usaha membangunkan negara dan menyelesaikan masalah rakyat tetapi, katanya, apa yang berlaku sekarang ialah seolah-olah kerajaan tidak dibenarkan menjalankan usaha ini oleh pakatan pembangkang melalui pelbagai tindakan mereka.

Katanya, perkara seperti demonstrasi dan mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pokok yang disifatkannya kali pertama seumpamanya di dunia yang dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pakatan pembangkang daripada DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam akan memberikan gambaran buruk kepada imej dan melemahkan kedudukan negara di mata negara asing terutama pelabur dan pelancong. - Bernama

No comments:

Posting Terkini