Pages

Sunday, January 25, 2009

SEKILAS - DUNIA dan MALAYSIAKINI

Pilihan raya presiden Indon Julai

JAKARTA: Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) telah menetapkan tarikh 8 Julai ini untuk menjalankan Pilihan Raya Presiden.

Jika pusingan kedua pilihan raya itu perlu diadakan, ia akan diadakan pada 8 September ini. -- Agensi.

Thailand mahu bincang pelarian

BANGKOK: Setiausaha Tetap Kementerian Luar Thailand, Encik Virasakdi Futrakul, dijadualkan bertemu dengan duta dari Myanmar, India, Bangladesh, Indonesia dan Malaysia untuk membincangkan isu pendatang asing.

Sebelum ini, kerajaan Thailand menolak dakwaan bahawa tenteranya membiarkan kaum etnik Rohingya yang beragama Islam dari Myanmar terapung di laut untuk mati.

Hampir 650 pendatang haram itu kemudian diselamatkan berdekatan perairan India dan Indonesia. -- AFP.

Italy larang bantah di tempat ibadah

ROME: Kementerian Dalam Negeri Italy melakarkan draf undang-undang baru yang dijangka mengharamkan bantahan diadakan di depan tempat ibadah.

Larangan itu diperkenalkan menyusuli tindakan penunjuk perasaan pro-Palestin yang mengakhiri bantahan mereka dengan melakukan solat di depan sebuah gereja di Milan.

Para pemimpin Islam di negara itu kemudian meminta maaf kepada pemimpin gereja itu sambil berkata penganut Islam tidak berniat menghina pihak gereja. -- AP.

MB: Lembu diberi sebagai sedekah

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pemberian 46 lembu kepada penduduk Parlimen Bandar Tun Razak menggunakan wang kerajaan negeri adalah sedekah.

'Saya bagi sedekah saja. Kalau sedekah pun penyelewengan tak tahu nak buat apa,' kata beliau ketika diminta mengulas kecaman pelbagai pihak terhadapnya kerana menggunakan wang kerajaan negeri itu untuk membeli 46 lembu korban pada Disember tahun lalu. -- BHM.

Pindah terminal masih diteliti

PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia belum membuat keputusan berhubung cadangan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia memindahkan terminal penerbangan tambang murah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Labu, Negeri Sembilan, kata Timbalan Perdana Menterinya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

'Kami sedang menelitinya (cadangan itu) tetapi masih belum membuat sebarang keputusan. Saya tidak boleh mendahului apa-apa keputusan dengan membuat pengumuman,' katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan pesawat amfibia Bombardier CL415 di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang di sini semalam. -- Bernama.

No comments:

Posting Terkini