Pages

Tuesday, January 27, 2009

PESAKIT GINJAL MELAYU TERUS BERTAMBAH

Singapura - BILANGAN pesakit ginjal Melayu terus bertambah: tahun lalu jumlah tersebut meningkat 36 peratus, berbanding tiga tahun lalu.

Perangkaan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) yang didedahkan kepada Berita Harian (BH) menunjukkan terdapat seramai 513 pesakit pada Disember 2008, berbanding 377 pada 2005.

Jumlah pesakit pada Disember 2007 pula ialah 471 manakala pada Disember 2006 jumlahnya ialah 407.

Peningkatan tersebut agak tinggi jika dibandingkan dengan kaum Cina.

Meskipun turut meningkat, jumlah pesakit ginjal Cina naik sebanyak 9 peratus sepanjang tempoh yang sama, antara 2005 dengan 2008.

Namun, dalam tempoh tersebut, kaum India juga turut melihat peningkatan setinggi kaum Melayu, sekitar 38 peratus.

Konsultan kanan Jabatan Perubatan Kecemasan, Hospital Besar Singapura (SGH), Dr Fatimah Lateef, berkata peningkatan tersebut disebabkan beberapa faktor.

Antaranya, beliau berkata, jumlah pesakit Melayu yang menghidap kencing manis dan darah tinggi lebih tinggi berbanding kaumkaum lain.

Penyakit-penyakit itu semua adalah antara punca utama penyakit ginjal.

Namun, bagi Dr Fatimah lebih membimbangkan lagi ialah keengganan ramai di kalangan pesakit Melayu yang berpenyakit seperti kencing manis dan darah tinggi untuk mendapatkan rawatan awal.

'Para pesakit ini sangka kerana tiada tanda-tanda ketara penyakit mereka itu, lantas mereka tidak perlu mendapatkan rawatan.

'Tanpa rawatan awal dan nasihat doktor tentang bagaimana mengawal penyakit tersebut keadaan mereka bertambah buruk mengakibatkan penyakit lebih rumit seperti penyakit ginjal,' ujar beliau, yang juga Anggota Parlimen GRC Marine Parade.

Namun, pada masa yang sama, peningkatan tersebut juga mungkin ekoran lebih ramai pesakit yang memilih untuk menjalani pemeriksaan awal.

Ini kerana lebih ramai anggota masyarakat yang tampil untuk menjalani pemeriksaan sejak kebelakangan ini.

Lantas, golongan ini hanya terdedah dalam perangkaan terkini NKF.

Diminta mengulas, Presiden Persatuan Bertindak Ginjal bagi Masyarakat Islam (MKAC), Encik Ameerali Abdeali, berkata masyarakat kini lebih sedar dan prihatin tentang isu-isu kesihatan.

'Lebih ramai orang yang memilih untuk menjalani pemeriksaan awal, lantas penyakit mereka dapat dikesan.

'Ini adalah sesuatu yang positif yang boleh kita ambil daripada peningkatan ini kerana ia menunjukkan usaha-usaha meningkatkan kesedaran oleh badan-badan seperti HPB (Lembaga Penggalak Kesihatan) tentang penyakit ginjal berhasil,' kata beliau. - BHS

No comments:

Posting Terkini