Pages

Saturday, January 10, 2009

NASIB RAKYAT PALESTIN TIDAK BOLEH DIABAIKAN LAGI

Oleh
Suhana A. Samat

MEREKA tidak berdosa.

Namun, dalam setiap peperangan, kanak-kanak turut menjadi mangsa.

Pada 5 Januari lalu, serangan udara Israel di bandar Jabalia, di utara Jaluran Gaza, telah mengorbankan lima beradik.

Yang sulung, Tahrir, berusia 17 tahun.

Adik-beradik lain yang menjadi mangsa serangan Israel itu ialah ialah Ikram, 14 tahun; Samar, 12 tahun; Dina, lapan tahun; dan Jawaher, empat tahun.

Sejak Israel melancarkan serangan ke atas Jaluran Gaza, lebih 700 rakyat Palestin telah terbunuh.

Sebahagian besarnya penduduk awam walaupun Israel menegaskan ia hanya menyasarkan prasarana strategik kumpulan Hamas.

Bandingkan jumlah ini dengan hanya 13 rakyat Israel yang terkorban ekoran roket Hamas sejauh ini.

Serangan yang bermula minggu lalu itu adalah yang paling menyayat hati dalam sejarah Palestin sejak Perang 1967.

Mengapa perang tercetus

Konflik antara Israel dengan Palestin adalah pertikaian antarabangsa paling lama dan ternyata akan berterusan tanpa penghujungnya walaupun selepas 60 tahun.

Israel melancarkan serangan terbaru atas alasan ingin menghentikan serangan roket pejuang Hamas.

Satu tinjauan saluran televisyen Israel menunjukkan 81 peratus daripada penduduk negara itu menyokong serangan ke atas Jaluran Gaza.

Para pengamat politik percaya tekanan daripada para penduduk setempat telah mendorong pemerintah Israel melancarkan serangan ke atas Jaluran Gaza, dan ia bukan taktik pilihan raya.

Israel bakal mengadakan pilihan raya umum pada 10 Februari ini.

Tiga calon utama dijangka merebut jawatan perdana menteri - Encik Ehud Barak dari Parti Buruh, Encik Benjamin Netanyahu dari Parti Likud dan Cik Tzipi Livni dari Parti Kadima.

Para pengamat berpendapat Encik Barak dan Cik Livni mungkin kehilangan sokongan jika perang ini menyebabkan korban jiwa yang tinggi bagi Israel.

Seorang penganalisis strategik di Universiti Tel Aviv, Encik Mark Heller, ditukil sebagai berkata:

'Kami tahu kesan serta-merta (perang ini) ialah kedudukan Cik Livni dan Encik Barak di kaca mata penduduk setempat bertambah baik.'

Namun, adalah terlalu awal untuk meramalkan sama ada Cik Livni dapat mengalahkan Encik Netanyahu, yang kini mendahului tinjauan bagi jawatan perdana menteri.

Segelintir pengamat politik menyamakan perang Israel dengan Hamas sekarang serupa dengan perang menentang kumpulan militan Hezbollah, yang disokong Iran, di Lebanon dua tahun lalu.

Perang selama 34 hari itu dimulakan Israel selepas Hezbollah menculik dua askar Israel dalam satu serangan di sempadan.

Konflik itu menyebabkan lebih 1,200 rakyat Lebanon, sebahagian besarnya rakyat awam, terkorban.

Lebih 160 rakyat Israel, sebahagian besarnya askar, terbunuh.

Perang ke atas Hamas turut disifatkan sebagai perang proksi antara sekutu Barat Israel dengan Iran.

Iran dikatakan memberi sumbangan ekonomi dan ketenteraan kepada Hamas.

Jika Hamas kalah, ia dilihat sebagai satu kekalahan juga bagi Iran.

Ini akan memudahkan negara-negara dunia memberi tekanan kepada Iran berkaitan program nuklearnya.

Namun, jika Israel berundur sekarang tanpa mencapai matlamatnya untuk melemahkan kedudukan Hamas, ia disifatkan sebagai satu kemenangan bagi Iran.

Iran akan lebih berani dan tidak mudah tunduk kepada tekanan pentadbiran baru Amerika Syarikat yang mahukan Teheran menghentikan program nuklearnya.

Kesan perang ke atas Hamas

Pada 19 Disember lalu, Hamas menamatkan perjanjian gencatan senjata yang dimeterai enam bulan lalu dengan Israel.

Tindakan itu diambil kerana Hamas mendakwa Israel telah terlebih dahulu mencabuli perjanjian gencatan senjata yang dipersetujuinya.

Sebelum ini, Hamas, yang memerintah Jaluran Gaza, menyaksikan Israel mengawal laluan masuk ke wilayah itu.

Israel juga mengenakan sekatan bekalan elektrik dan bantuan kemanusiaan lain terhadap sekitar 1.5 juta penduduk Gaza.

Semua ini sebahagian daripada kempen Israel yang disokong pentadbiran Presiden Amerika, Encik George W. Bush, untuk memberi tekanan kepada rakyat Palestin agar mengguling pemerintahan Hamas.

Salah seorang pemimpin Hamas, Encik Ahmed Yousef, berkata pihaknya tidak akan bersetuju menandatangani satu gencatan senjata yang baru jika sekatan ekonomi tidak ditarik balik.

Jika sekatan itu ditarik balik, secara tidak langsung ia membantu Hamas untuk terus memerintah di Gaza.

Sekali gus, perkembangan itu akan melenyapkan sebarang harapan perjanjian damai yang dapat dimeterai antara Palestin dengan Israel.

Sejak setahun lalu, Israel telah memulakan semula rundingan damai dengan Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, pemimpin Parti Fatah yang mengawal Tebing Barat.

Sebelum itu Israel menegaskan ia tidak akan menandatangani perjanjian damai dengan Palestin selagi Hamas mengawal Jaluran Gaza.

Dalam tempoh terdekat, ternyata harapan bagi sebarang perjanjian damai dimeterai bagi pembentukan negara Palestin yang berdaulat kembali malap.

Alasan bagi kumpulan pengganas

Untuk sekian lama, konflik penindasan rakyat Palestin oleh Israel merupakan antara sebab kumpulan pengganas melancarkan serangan nekad ke atas rejim Yahudi itu dan sekutunya.

Serangan Israel ke atas Palestin yang dianggap keterlaluan kali ini hanya akan menyemarakkan semula kemarahan kumpulan militan.

Ia sekali lagi mewajarkan tindakan mereka untuk melancarkan serangan nekad.

Tindakan Hamas juga tidak membantu, terutama apabila jurucakapnya, Encik Fawzi Barhum, berkata Israel kini sedang melakukan 'satu pembunuhan besar-besaran dan dunia hanya melihat dan tidak mengangkat satu jari pun untuk menghentikannya'.

Kumpulan itu malah telah memberi amaran ia akan melancarkan semula serangan nekad ke atas Israel - buat kali pertama sejak tindakan itu dihentikan pada Januari 2005.

Tahun 2009 ini dikhuatiri akan dicemari dengan lebih banyak serangan pengganas yang dilancarkan untuk membalas dendam atas apa yang berlaku di Palestin.

Ujian genting bagi Barack Obama

Konflik Timur Tengah bukan antara isu utama yang sepatutnya diberi perhatian oleh Encik Barack Obama apabila beliau dirasmikan sebagai Presiden Amerika pada 20 Januari ini.

Sepatutnya, perhatian pertama pentadbiran Encik Obama ialah mencari huraian segera bagi merancakkan semula ekonomi Amerika, yang turut menjejas ekonomi sejagat.

Namun, kenyataannya, Israel seakan tergesa-gesa menyerang Palestin sebelum Encik Obama mengambil alih tampuk kepimpinan.

Ini kerana terdapat tanggapan bahawa pentadbiran Encik Obama mungkin tidak akan memberi sokongan jitu yang sama kepada Israel berbanding pentadbiran Encik Bush.

Rumah Putih, bagaimanapun, telah memberi isyarat yang ia menyokong kuat tindakan Israel itu dan 'faham Israel perlu bertindak untuk mempertahankan dirinya'.

'Mereka sedang mengambil langkah yang mereka rasa perlu untuk menangani ancaman pengganas,' kata jurucakap Rumah Putih, Encik Gordon Johndroe.

Dasar pentadbiran Encik Bush sebelum ini ialah tidak mengiktiraf kewujudan pemerintahan Hamas, yang dianggap sebagai kumpulan pengganas.

Ujian segera Encik Obama ialah sama ada beliau mampu menafikan 'hubungan istimewa' antara Amerika dengan Israel.

Perjanjian damai di antara Israel dengan Palestin sepatutnya sudah dimeterai menjelang akhir 2008 sebelum Encik Bush berundur.

Namun, dengan perang yang baru tercetus ini, proses tersebut tentunya akan tergendala entah berapa lama lagi.

Isnin lalu, Encik Obama akhirnya bersuara dengan melahirkan kebimbangan mengenai keadaan di Palestin.

Namun, Encik Obama menekankan beliau tidak akan campur tangan dalam urusan tersebut sehingga beliau mengambil alih tampuk pemerintahan.

Ketika ditanya wartawan sama ada keadaan di Palestin mengganggu tumpuannya dalam usaha memulihkan ekonomi Amerika, Encik Obama menyatakan bahawa urusan antarabangsa merupakan perkara yang mendapat perhatiannya.

'Isu antarabangsa sentiasa menjadi perhatian dan saya dimaklumkan setiap hari mengenai perkembangan di Palestin.

'Namun, saya percaya bahawa seorang presiden dan bakal presiden serta kumpulannya mampu melakukan lebih daripada satu perkara pada satu-satu masa,' kata Encik Obama.

Menurutnya, beliau sebelum ini berdiam diri mengenai isu Palestin kerana menghormati prinsip 'hanya ada satu Presiden Amerika Syarikat pada satu-satu masa'.

'Saya tidak mahu wujud pendapat yang mungkin bertentangan dan akan mengelirukan orang ramai mengenai pentadbiran Amerika,' kata beliau lagi.

Encik Obama menang dalam pilihan raya presiden baru-baru ini kerana beliau menjanjikan 'perubahan'.

Jika benar 'perubahan' merupakan moto utama Encik Obama, beliau harus segera mencari pendekatan baru dan kreatif bagi menghuraikan krisis ini.

Satu cara ialah dengan mengiktiraf kewujudan Hamas dan memberi separuh kuasa untuk mentadbir Jaluran Gaza.

Nasib rakyat Palestin tidak mampu diabaikan lagi.

Selepas 60 tahun, mereka sudah terlalu lama mendambakan cahaya kedamaian.

No comments:

Posting Terkini