Pages

Saturday, April 18, 2009

MUDA-MUDI ISLAM CARI JODOH SEMASA HADIRI KONVENSYEN DI PARIS

PARIS: Ramai golongan muda Islam membanjiri Le Bourget di Paris, konvensyen Islam paling popular dan terbesar di Eropah, bukan hanya untuk mendengar ceramah cendekiawan Islam dan membeli karya sastera Islam.

Mereka juga berkunjung dengan harapan untuk mencari jodoh.

'Ramai lelaki dan wanita muda datang ke sini untuk mencari bakal suami atau isteri. Ini sememangnya isu sukar dan memerlukan banyak usaha,' kata Cik Maryam La'khdar, yang mempunyai gerai khas mengenai hubungan antara pasangan Islam.

Gerainya di konvensyen tahunan empat hari yang baru berakhir minggu ini membantu memudahkan dan menaja pertemuan perkenalan antara golongan muda Islam dalam persekitaran berasaskan Islam.

Cik Maryam, penulis buku mengenai hubungan pasangan, berkata semakin ramai pelawat menunjukkan minat dalam isu mencari jodoh sejak beberapa tahun lalu.

Encik Said El-Maghraby ialah seorang daripada mereka.

'Sejak beberapa tahun, saya hadir di Le Bourget dengan harapan menemui calon isteri. Perhimpunan besar memang menawarkan peluang baik untuk berhubungan secara langsung dengan bakal isteri,' katanya yang menemui jodoh pada sesi Le Bourget 2006. Bagaimanapun tidak semua yang mengunjungi Le Bourget mencari bakal pasangan hidup.

Kebanyakan pengunjung dahagakan pengetahuan mendalam mengenai agama, sama ada melalui ceramah atau buku, dan juga inspirasi. 'C'est un miracle!' jerit seorang pemuda Perancis yang memeriksa buku dan pameran mengenai matematik dan keajaiban angka dalam Al-Quran di sebuah gerai.

Encik Makram, 23 tahun, dan sekumpulan rakannya kagum dengan apa yang dipelajari mengenai Islam.

'Di Perancis kami tidak tahu apa-apa mengenai keajaiban yang belum terdedah dalam Al-Quran. Le Bourget memberi kami peluang lebih mengetahui mengenainya dan mengukuhkan kepercayaan kami,' katanya.

Seorang lagi pengunjung, Cik Elham, yang melawat sebuah gerai lain turut bersetuju.

Beliau, bersama-sama ramai pelawat lagi, berkumpul mengelilingi pameran yang mengupas sejarah Islam dan biografi Nabi Muhammad saw bersama sahabat baginda. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini