Pages

Saturday, April 18, 2009

SUKUK INDONESIA DAPAT SAMBUTAN ANTARABANGSA

INDONESIA telah menjual AS$650 juta ($976 juta) bon Islam atau sukuk dalam pasaran antarabangsa bagi membantu mengurangkan defisit bajet negara yang semakin membesar.

Mendedahkan demikian, pegawai kementerian kewangan negara itu, Encik Rahmat Waluyanto, semalam ditukil agensi berita AFP, sebagai berkata:

Penjualan itu dilakukan bagi memenuhi sasaran dana kami bagi bajet 2009 dengan mempelbagai alat-alat dana dan meluaskan lagi pangkalan pelabur sukuk dalam pasaran antarabangsa.'

Encik Waluyanto berkata bahawa bon Islam selama lima tahun itu dijangka matang pada 23 April 2014 dengan bayaran kadar pulangan tetap sebanyak 8.8 peratus. Ia meningkat sekitar tujuh kali langganan apabila ia dipasarkan di pasaran antarabangsa pada Khamis lalu.

Para pelabur Islam Timur Tengah membeli 30 peratus sementara para pembeli dari Asia, termasuk Indonesia, merangkumi 40 peratus daripada penjualan tersebut.

Para pelabur Amerika Syarikat membeli 19 peratus dan pelabur Eropah pula membeli 11 peratus.

Dana membentuk kumpulan pelabur terbesar - merangkumi 45 peratus permintaan - sementara bank membeli 37 peratus. Para pelabur peruncit membeli 14 peratus sementara insurans dan dana persaraan pula membentuk empat peratus.

Walaupun masyarakat Islam membentuk majoriti bagi negara dengan jumlah penduduk 234 juta itu, kewangan syariah membentuk satu atau dua peratus sahaja daripada semua urusan kewangan.

Sukuk, menurut undang-undang Syariah Islam, mengharamkan faedah. Ia menghasilkan pulangan menerusi perjanjian perkongsian keuntungan atau daripada penyewaan aset sekuriti milik penjual.

Sukuk Indonesia menggunakan model aset yang dinamakan ijarah dan disokong oleh bangunan dan tanah pemerintah.

Namun, dari segi saiz, pasaran kewangan Syariah Indonesia masih jauh ketinggalan berbanding negara-negara seperti Malaysia, tambah laporan itu.

No comments:

Posting Terkini