Pages

Tuesday, January 27, 2009

Ikrar wakil rakyat BN Perak tidak masuk Pakatan

PETALING JAYA: Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Perak yang menemui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak di ibu negara malam tadi telah menyatakan ikrar akan kekal dalam BN.

Ikrar itu dibuat beberapa jam selepas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mendakwa tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dijangka menyertai Pakatan Rakyat ekoran langkah Datuk Nasarudin Hashim kelmarin.

Ketika dihubungi mStar Online, Setiausaha Umno Perak, Datuk Ramly Zahary berkata, mereka melahirkan sumpah taat setia untuk terus bersama BN.

"Semalam semua ahli yang hadir membuat ikrar taat setia kepada BN di hadapan Datuk Seri Najib," kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Malah, kata beliau, mereka juga mencapai kata sepakat iaitu masih menaruh harapan bahawa Nasarudin, ADUN Bota akan kembali menyertai Umno dan BN.

Tambah Ramly, mereka juga yakin Nasaruddin sedang menguji BN melalui tindakannya itu.

"Kita yakin beliau sedang uji BN... beliau nak tahu apakah reasksi kita selepas buat pengumuman untuk keluar.

"Kita sangat yakin dengan Datuk Nasarudin, beliau akan membuat perhitungan yang sewajarnya," katanya.

Pertemuan yang diadakan di ibu negara itu dihadiri oleh 26 daripada 27 ADUN dan 11 daripada 13 Ahli Parlimen BN dari Perak.

Selain itu Umno Perak juga menyeru supaya Nasarudin mengubah pendiriannya untuk meninggalkan BN.

"Kita seru supaya beliau patah balik (kembali) kepada Umno dan BN," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan itu, Ramly berkata, semua pemimpin yang hadir berpeluang menyampaikan pandangan berhubung perkembangan terbaru itu.

Malah katanya, Najib turut menasihatkan agar pemimpin-pemimpin Umno dan BN supaya tidak mengeluarkan kenyataan bersifat negatif kerana ia akan menjejaskan proses rundingan dan perbincangan dengan Nasarudin.

Kata beliau lagi, Umno Perak mengklsifikasikan isu ini sebagai malapetaka kepada parti dan memandang serius mengenainya.

"Kita memandang serius mengenai perkebangan terbaru ini dan sedang berusaha mengambil tindakan yang wajar bagi membendungnya," katanya yang enggan menjelaskan dengan lebih lanjut.

Dalam pada itu, Najib ketika ditemui wartawan selepas pertemuan malam tadi berkata, antara ketetapan dibuat ialah semua memberi pengakuan dan disokong dengan setiap wakil rakyat menyatakan kesetiaan kepada BN melalui parti masing-masing.

"Waima apa jua keadaan sekalipun ini termasuk juga satu dua yang tidak hadir, tapi telah menelefon untuk menyatakan pendirian sama dan harap ia melenyapkan sebarang khabar angin yang diuar-uarkan oleh parti pembangkang yang menyatakan kononnya ada wakil rakyat BN dari Perak mahu melompat parti," katanya.

Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN memberitahu, selain itu pertemuan malam tadi juga membincangkan beberapa perkara yang penting iaitu keutuhan berkhidmat kepada rakyat dan yakin kepada BN. -- mSTAR

No comments:

Posting Terkini