Pages

Wednesday, January 14, 2009

Dua letupan bom berhampiran CIQ di Golok

SUNGAI GOLOK:Sungai Golok yang tenang sejak beberapa hari lepas, gempar seketika pagi ini apabila dua butir bom dilaporkan meletup berhampiran Jambatan Muhibah yang menghubungkan Sungai Golok dan Rantau Panjang di sebelah Kelantan.

Kejadian yang berlaku pada pukul 6.30 pagi waktu tempatan (7.30 pagi waktu Malaysia) itu menyebabkan tiga daripada enam pos pemeriksaan baru di Pusat Pemeriksaan dan Kuarantin (CIQ) di sini musnah.

Selang 15 minit kemudian, pos terbabit digegarkan kembali dengan bom yang kedua menyebabkan laluan sibuk di jambatan itu terpaksa ditutup kepada semua kenderaan bagi tujuan pemeriksaan yang lebih ketat dilakukan.

Enam pos baru itu bagaimanapun masih belum beroperasi dan jarak antara pos sedia ada hanyalah kira-kira 100 meter.

Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan berlaku kerana ketika itu tiada sebarang kenderaan yang sedang melalui pos berkenaan.

Sejurus kejadian, pihak keselamatan negara jiran percaya terdapat sebutir lagi bom yang masih aktif berhampiran tempat kejadian.

Namun selepas dua jam pemeriksaan dijalankan, pihak keselamatan berpuas hati tiada lagi bom ditemui dan kemudiannya membenarkan laluan sibuk itu dibuka seperti biasa.

Media bagaimanapun tidak dibenarkan berada berdekatan tempat kejadian kerana khuatir berlaku lagi letupan bom. Jambatan Muhibah itu dibuka untuk laluan bermula pada 6 pagi dan ditutup pada 10 malam setiap hari.

Seorang pekerja di CIQ negara jiran itu, Mokhtar Che Mat, 52, berkata beberapa petugas gempar dan menyelamatkan diri sebaik letupan pertama berlaku.

"Kami ingat hanya ada sebutir bom yang meletup tetapi letupan kedua selang 15 minit, kami semua lari menyelamatkan diri ke tempat selamat," katanya.Seorang pemandu pelancong di Rantau Panjang, Shaari Jusoh, 47, berkata letupan itu sangat kuat dan boleh didengari penduduk di kawasan itu.

"Kuat letupan dia tapi Alhamdulillah tidak ada sebarang kecederaan atau kematian. Bimbang juga kita sekarang nak bekerja, takut jadi macam inilah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi ketika dihubungi menasihatkan rakyat Malaysia agar berhati-hati ketika mengunjungi wilayah bergolak di negara jiran itu.

"Polis menasihatkan agar berhati-hati dan jangan ke sana jika tiada tujuan mustahak kerana keadaan keselamatan masih tidak menentu," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas insiden tersebut kerana ia berlaku di kawasan negara jiran. BERNAMA

No comments:

Posting Terkini