Pages

Friday, November 14, 2008

PEKERJA ZOO MAUT DIGIGIT HARIMAU

Singapura- - SEORANG pekerja pembersihan maut selepas digigit seekor harimau sejurus selepas mangsa memasuki kawasan pameran harimau putih di Taman Haiwan Singapura tengah hari semalam.

Allahyarham Nordin Montong, 32 tahun, pekerja kontrak di taman haiwan tersebut, disahkan meninggal dunia pada 12.45 tengah hari dengan luka di bahagian leher dan badannya.

Menurut kenyataan Taman Haiwan Singapura, Allahyarham Nordin dipercayai terjun masuk ke dalam parit yang mengelilingi kawasan pameran harimau putih itu.

Ini merupakan kali pertama kejadian seumpama itu berlaku di Taman Haiwan Singapura.

Seorang pelawat dari Belanda yang menyaksikan kejadian tersebut dan hanya ingin dikenali sebagai Encik Bour, berkata beliau terdengar bunyi sesuatu benda terjatuh ke dalam air.

'Saya ternampak Allahyarham Nordin bergerak ke tempat di mana harimau bergerak bebas dan berbaring secara mengerekot (curled) sebelum menutup kepalanya dengan sebuah baldi warna kuning.

'Dua ekor harimau mengelilingi Allahyarham Nordin sebelum salah seekor daripadanya menerkam dan mencengkam leher beliau, lalu mengheretnya,' katanya.

Para pegawai zoo yang tiba kemudian cuba mengalihkan perhatian kedua-dua ekor harimau sebelum berjaya menghalau mereka masuk ke kandang masing-masing.

Beberapa doktor haiwan berusaha memberikan pertolongan kecemasan kepada Allahyarham Nordin namun beliau disahkan meninggal dunia oleh paramedik yang tiba di tempat kejadian pada 12.45 tengah hari.

Menurut Taman Haiwan Singapura, Allahyarham Nordin, yang berasal dari Sarawak mula bekerja di taman haiwan itu empat setengah bulan yang lalu.

Beliau ditugaskan membersihkan kawasan pameran cimpanzi.

Menjawab pertanyaan media, Pengarah Penjualan, Pemasaran dan Perhubungan Wildlife Reserves Singapore, Cik Isabel Cheng, berkata bahawa pasangan pelawat dari Australia yang turut menyaksikan kejadian itu telah ternampak Allahyarham Nordin awal sebelum itu dalam keadaan gelisah di kawasan pameran buaya.

Pihak zoo Singapura juga menyatakan, Allahyarham Nordin telah dilihat rakan-rakan sekerjanya dan penjaga-penjaga haiwan dalam keadaan marah-marah semasa waktu makan tengah hari.

Penolong Pengarah (Zoologi) Taman Haiwan Singapura, Encik Biswajit Guha, memberi jaminan yang semua kawasan pameran terbuka di Taman Haiwan Singapura adalah selamat untuk dikunjungi.

Beliau juga mengesahkan bahawa langkah-langkah keselamatan sentiasa diamalkan terutama ketika para pekerja atau penjaga haiwan memasuki kawasan pameran haiwan.

Malah, Encik Guha menambah: 'Tiada sesiapa yang dibenarkan untuk merapati dan berhubungan secara langsung dengan haiwan-haiwan berbahaya.

'Para pekerja pembersihan kontrak juga sentiasa ditemani para penjaga haiwan ketika bertugas.'

Namun, Taman Haiwan Singapura tetap akan mengkaji semula semua prosedur dan memastikan keselamatan para pengunjung dan pekerja terjamin.

Ekoran kejadian itu, para pekerja mereka yang mungkin terjejasakan menjalani sesi kaunseling dan terapi jika perlu.

Kawasan pameran harimau putih yang merupakan salah satu tarikan utama Taman Haiwan Singapura akan ditutup buat sementara waktu sehingga semua siasatan selesai dijalankan.

Tetapi tiada rancangan untuk menghapuskan harimau-harimau yang terlibat dalam kejadian itu.

Polis sejauh ini menyifatkan kejadian itu sebagai kematian luar biasa. -- Berita Harian Singapura

No comments:

Posting Terkini