Pages

Saturday, October 4, 2008

Tiga buah kedai permaidani di Jalan Tunku Abdul Rahman musnah terbakar

Enam jentera bomba dengan 25 anggota dan pegawai dapat mengawal kebakaran daripada merebak ke kedai berhampiran. -foto THE STAR oleh CHAN TAK KONG
KUALA LUMPUR: Seorang pemilik kedai permaidani kerugian kira-kira RM5 juta apabila deretan tiga buah kedai permaidani miliknya di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini musnah dalam kebakaran pagi tadi.

Mohammad Ibraheem Mohd, 44 yang berasal dari Kashmir, India berkata kebakaran itu disedari oleh pekerjanya kira-kira pukul 6 pagi apabila terlihat percikan api daripada salah sebuah kedainya.

"Kebakaran bermula dari bahagian belakang kedai tengah yang kemudiannya marak dengan cepat dan merebak kepada dua buah kedai lagi," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau yang telah mengusahakan perniagaan permaidani sejak 20 tahun lalu berkata semasa kejadian 15 orang pekerjanya berada di dalam kedai itu.

Bagaimanapun, katanya, mereka dapat menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan.

"Saya redha dengan apa yang berlaku dan berserah pada Allah. Saya belum mempunyai sebarang perancangan lagi kerana masih terkejut dengan kejadian yang pertama kali berlaku ini," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah Chistopher Chong berkata pihaknya menerima panggilan pukul 6.27 pagi dan jentera pertama sampai di tempat kejadian 10 minit kemudian.

Katanya enam jentera bomba dengan 25 anggota dan pegawai dapat mengawal kebakaran daripada merebak ke kedai berhampiran lebih sejam kemudian.

Beliau berkata pasukan bomba terpaksa menggunakan kaedah semburan buih bagi memadam kebakaran berikutan keadaan permaidani yang disusun bertindih selain bahan permaidani yang diperbuat daripada campuran plastik. BERNAMA

No comments:

Posting Terkini