Pages

Friday, October 3, 2008

Saham Maybank turun hampir ke paras terendah 5 tahun

KUALA LUMPUR 3 Okt. — Saham Malayan Banking Bhd jatuh hampir ke paras terendah dalam tempoh lima tahun susulan penyelesaian pengambilalihan 55.6 peratus kepentingan ekuiti dalam PT Bank Internasional Indonesia (BII) dengan harga RM4.26 bilion (SGD$1.77 bilion).

Pada jam 11.30 pagi, saham Maybank susut 30 sen kepada RM6.60.

Maybank mengumumkan pada Selasa bahawa Fullerton Financial Holdings dan Kookmin Bank, pemegang saham BII, bersetuju untuk menyediakan rebat terkumpul sebanyak RM758.9 juta (SGD$315.2 juta) bagi jumlah pertimbangan jualan.

Berikutan perjanjian itu harga mutlak boleh dibayar bagi sesaham BII dikurangkan kepada Rp433 daripada Rp510.

Menurut seorang penganalisis, niaga janji itu masih mahal meskipun terdapat rebat dalam harga pengambilalihan.

Beliau berkata para pelabur tidak melihat pengambilalihan itu sebagai suatu yang positif memandangkan situasi pasaran ketika ini terutamanya dengan kegawatan kewangan dalam pasaran kredit AS.

“Ia bukannya masa yang sesuai untuk membeli sebuah bank,” katanya.

Bagaimanapun, Aseambankers dalam laporan penyelidikannya menyatakan 15 peratus pengurangan rebat/harga, membawa kepada “penjimatan” sebanyak 15.5 sen untuk satu saham Maybank.

Firma penyelidikan itu berkata diandaikan tawaran tender itu diterima sepenuhnya oleh pemegang saham minoriti, aliran keluar tunai Maybank dijangka kira-kira RM8.27 bilion.

— BERNAMA

No comments:

Posting Terkini