Pages

Friday, October 3, 2008

Lebih banyak rumah akan dibina di Cyberjaya

CYBERJAYA 2 Okt. - Lebih banyak unit kediaman kos sederhana akan dibina di Cyberjaya dalam masa 20 tahun akan datang bagi memenuhi permintaan rumah yang semakin meningkat di sini, kata Ketua Pegawai Operasi Setia Haruman Sdn. Bhd., Lao Chok Keang.

"Kira-kira empat tahun lalu, kami berbincang dengan semua pihak yang mempunyai kepentingan termasuk Majlis Perbandaran Sepang dan mereka bersetuju kami perlu menambah jumlah di sini daripada 28,000 kepada 42,000 unit," kata Chok Keang di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, ini akan memenuhi keperluan majoriti.

Bagaimanapun, syarikat akan menyimpan sebahagian kawasan tanah di sini untuk pembangunan mewah.

"Itulah sebabnya kami mempunyai Perdana Lake View East dan Perdana Lake View West bagi keperluan pasaran mewah," jelas Lao.

Beliau berkata, permintaan untuk rumah kos sederhana di Cyberjaya meningkat dengan banyak sejak 12 bulan kebelakangan ini.

"Dengan pembukaan lebuh raya baru, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya, banyak orang melihat Cyberjaya sebagai satu alternatif," katanya.

Pada masa ini kawasan tanah yang tidak dimajukan di Cyberjaya seluas 1,817 ekar atau 96.4 peratus daripada keseluruhan kawasan tanah.

Setia Haruman telah membangunkan dan menjual hampir 3,000 buah rumah kediaman di Perdana Lake View West dan Perdana Lake View East yang terdiri daripada 250 hartanah kediaman mewah dan 2,750 rumah kos sederhana.

Daripada jumlah itu, 200 buah rumah kediaman mewah telah dijual.

Setia Haruman akan melancarkan projek komersial terkini, CDB Perdana 2, di sini pada November ini.
Utusan

No comments:

Posting Terkini