Pages

Friday, October 3, 2008

103 Mangsa Tongkang Karam Dihantar Pulang Ke Indonesia

PELABUHAN KLANG, 2 Okt (Bernama) -- Seramai 103 daripada 125 mangsa warganegara Indonesia yang terselamat daripada tongkang kayu karam yang meragut 14 nyawa di perairan Pintu Gedong, 15 km dari Pelabuhan Barat, di sini Selasa lalu, dihantar pulang Khamis.

Pengarah Penguatkuasa Jabatan Imigresen Datuk Ishak Mohamed berkata kesemua mereka dihantar pulang ke negara asal dengan menaiki kapal Sea & Coast Guard KN.Sarotama dari Indonesia yang menghala ke Tanjung Balai, Asahan, Sumatera.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 81 lelaki termasuk seorang kanak-kanak berumur setahun enam bualan manakala bakinya adalah wanita termasuk seorang yang sarat mengandung.

"Baki 22 orang saya difahamkan ada yang masih dirawat hospital dan ada lagi yang masih trauma berada di kedutaan Indonesia. Berdasarkan keadaan sekarang kita akan usahakan untuk hantar mereka pulang secepat mungkin.

"Kita berpegang pada prinsip ini, walaupun kita boleh ambil tindakan undang-undang kerana kebanyakan mangsa sudah "overstay" di Malaysia dan ada yang tiada pasport, tetapi memandangkan mereka adalah mangsa keadaan jadi kita ikut nasihat Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Syed Hamid Albar) untuk uruskan penghantaran pulang.

"Kesemua 103 mangsa yang dihantar pulang itu diberikan pasport gantian iaitu Sijil Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) oleh pihak Kedutaan Indonesia dan kalau di Malaysia kita panggil emergency pasport yang hanya sah untuk satu perjalanan sahaja," katanya kepada pemberita selepas menguruskan penghantaran pulang semua mangsa terbabit di dermaga Westport Malaysia di sini.

Dalam kejadian itu, seramai 14 rakyat Indonesia lemas termasuk dua lelaki yang mayat mereka ditemui hari ini, manakala 125 lagi terselamat selepas tongkang kayu yang mereka naiki tenggelam di perairan Pintu Gedong, 15 km dari Pelabuhan Barat, di sini.

Tongkang yang membawa kesemua rakyat Indonesia yang ingin pulang berhari raya itu dipercayai berlepas dari kawasan hutan di Pulau Che Mat Zin, berhampiran Pelabuhan Barat menghala ke Tanjong Balai di Sumatera dan karam selepas 10 minit berlayar.

Ishak berkata berdasarkan maklumat yang dikumpul daripada mangsa yang terselamat, mereka pilih jalan lain (tidak digazetkan) untuk pulang ke kampung masing-masing kerana telah tinggal di Malaysia melebihi tempoh dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Mungkin ejen yang uruskan itu beritahu kalau ikut pintu yang digazetkan tidak selamat memandangkan seramai 500 ke 800 pegawai imigresen ditempatkan di semua 125 pintu keluar masuk di negara ini.

Merujuk kepada maklumat siasatan, Ishak berkata selepas RM800 seorang dibayar kepada tekong terbabit itu, mereka diletakkan di sebuah hotel di Pelabuhan Klang dan dijanjikan bot bawa pulang dari Indonesia.

Hari demi hari mereka menanti, bot tidak muncul juga. Mereka kemudian dibawa ke dalam sebuah hutan untuk tunggu dari pukul 5 pagi hingga 7 malam sebelum dibawa menaiki tongkang berkenaan yang 10 minit kemudian tenggelam.

Ishak juga memberitahu bahawa daripda risikan terdapat kira-kira 300 lagi rakyat Indonesia yang masih menunggu giliran untuk pulang kerana sudah menempah dan membayar tongkang terbabit.

Mengenai tujuh tekong warganegara Indonesia yang ditahan reman, Ishak berkata pihaknya dengan kerjasama polis akan mengenal pasti tindakan undang-undang terhadap tahanan itu.

Mengenai langkah kawalan keselamatan keluar dan masuk di Malaysia pula, Ishak berkata pihak imigresen akan menempatkan lebih ramai pegawai di 125 lokasi yang ditetapkan.

Katanya rakyat Indonesia yang ingin memasuki Malaysia dinasihati supaya ikut peraturan, seperti kalau cari kerja mesti ada pas kerja bagi mengelakkan diri daripada ditimpa masalah kelak.

Ishak berkata pihak imigresen sedia membantu memperbaharui visa mereka yang tamat tempoh supaya boleh balik ke negara asal secara teratur.

Tetapi mereka kena bayar kompaun antara RM1,000 hingga RM3,000 kerana kesalahan tinggal lebih tempoh dibenarkan dan tiada dokumen sah, katanya.

Beliau berkata kesalahan keluar melalui pintu yang tidak digazetkan pula, mereka boleh didenda sehingga RM10,000.

No comments:

Posting Terkini