Pages

Thursday, October 23, 2008

Kementerian Akan Kaji Rasional Majikan Pegang Pasport Pekerja Asing

KUALA LUMPUR, 23 Okt -- Kementerian Sumber Manusia akan mengkaji rasional di sebalik tindakan majikan memegang pasport pekerja asing mereka di negara ini, kata menteri berkenaan Datuk Dr S. Subramaniam.

Beliau yang mempersoalkan keperluan majikan untuk memegang pasport pekerja asing, berkata mengikut undang-undang tiada sesiapa yang boleh menyimpan pasport orang lain.

"Kebanyakan buruh asing di negara ini secara sukarela bersetuju menyerahkan pasport mereka kepada majikan masing-masing atas sebab keselamatan.

"Bagaimanapun mengikut asasnya, terpulang kepada pekerja sama ada mereka ingin menyerahkan pasport kepada majikan mereka atau tidak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fakulti Teknologi Maklumat Kolej Kumpulan Akademi Nirwana di sini hari ini.

Pada masa ini terdapat 3 juta pekerja asing di negara ini, dengan kira-kira 1.1 juta adalah pendatang tanpa izin.

Subramaniam berkata pekerja juga akan menghadapi banyak implikasi berikutan tindakan majikan memegang pasport mereka.

"Majikan perlu memastikan pasport dan visa (pekerja mereka) tidak tamat tempoh. Jika pasport atau visa tamat tempoh, pekerja akan disalahkan bukannya majikan," katanya.

Subramaniam yang menasihat pekerja supaya tidak menyerahkan pasport mereka kepada majikan, berkata kementerian akan merangka cadangan bagi memastikan amalan itu tidak terus berlaku.

Sementara itu, Subramaniam yang juga setiausaha agung MIC berkata Perbadanan Pembangunan Multimedia kini memerlukan sekurang-kurangnya 15,000 pekerja setahun dalam sektor teknologi maklumat.

Beliau berkata kementerian akan mengenalpasti graduan yang berpotensi untuk mengisi kekosongan itu.

--BERNAMA

No comments:

Posting Terkini