Pages

Wednesday, September 24, 2008

Pakistan tembak jatuh pesawat tanpa juruterbang AS

ISLAMABAD 24 Sept. – Tentera dan kabilah di Pakistan menembak jatuh sebuah pesawat tanpa juruterbang milik tentera Amerika Syarikat (AS) berhampiran sempadan Afghanistan.

Jika laporan tiga pegawai perisikan itu disahkan, insiden tersebut dipercayai kali pertama sebuah pesawat tanpa juruterbang AS ditembak jatuh di ruang udara Pakistan.

Kejadian itu dijangka meningkatkan lagi ketegangan antara Washington dengan Islamabad berhubung tindakan komando AS dari Afghanistan menceroboh ke kawasan kabilah-kabilah di negara ini untuk memburu gerila Al-Qaeda dan Taliban.

Tiga pegawai Pakistan itu berkata, pesawat tersebut ditembak jatuh di kampung Jalal Khel, wilayah Waziristan Selatan malam tadi selepas berlegar-legar di ruang udara selama beberapa jam.

Serpihan pesawat tersebut bertaburan di tanah, kata mereka.

Seorang pegawai kanan AS, bagaimanapun mempertikaikan laporan itu.

“Kami tidak ada maklumat mengenai pesawat tanpa juruterbang terhempas,” katanya.

- AP

No comments:

Posting Terkini