Pages

Wednesday, September 24, 2008

Malaysia Airports Akan Jadikan KLIA Lebih Mesra Alam

BOSTON, 24 Sept (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sedang mengambil langkah bagi menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lebih mesra alam.

Pengarah Urusannya Datuk Seri Bashir Ahmad berkata proses itu sudah dimulakan, dengan strategi dilaksanakan bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, termasuk program mengurus sisa dan mengurangkan penggunaan kenderaan.

Berdasarkan kebimbangan dunia mengenai pemanasan global, pendekatan "hijau" telah menjadikan perniagaannya semakin baik, katanya yang menambah kecekapan tenaga juga boleh membantu mengurangkan kos.

Bashir berkata MAHB juga memperoleh hasil bukan lapangan terbang menerusi penanaman kelapa sawit di kawasan seluas 3,200 hektar di sekitar KLIA, dengan anak syarikat yang terlibat mencatatkan keuntungan sebanyak RM20 juta tahun lepas.

"Kami masih menjangkakan keuntungan tahun ini walaupun harga minyak sawit turun," katanya dalam temu bual selepas pembentangan kertas kerja mengenai "Built to be Green: The KLIA experience" pada perhimpunan agung Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI), persidangan dan pameran dunia yang berlangsung di sini dari 21 hingga 24 Sept.

Bashir, anggota majlis pentadbir ACI, berkata KLIA secara berterusan menerima anugerah pensijilan Green Globe sejak 2004 dan merupakan lapangan terbang pertama dan satu-satunya lapangan terbang di dunia yang mendapat pengiktirafan itu.

Green Globe, sistem penanda aras dan peningkatan prestasi antarabangsa, menetapkan standard yang tinggi yang tidak dapat dipenuhi oleh kebanyakan lapangan terbang, katanya.

Inisiatif lain yang dilaksanakan termasuk Projek Planet Hijau bagi menggalakkan tanggungjawab terhadap alam sekitar di kalangan pelawat tempatan dan asing di KLIA, dan melancarkan Taman Hijau KLIA, satu kawasan penyelidikan pendidikan berdasarkan kepelbagaian tanaman di situ.

Mengenai perniagaannya, MAHB mengunjurkan pertumbuhan 5.5 peratus dalam jumlah penumpang tahun ini, yang masih tinggi berbanding purata industri sebanyak empat peratus, kata Bashir.

"Kami mencatat pertumbuhan yang baik dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini namun menyusut selepas itu," katanya yang menambah syarikat itu yang mengurus 39 lapangan terbang, juga menjangkakan mencatat pertumbuhan tahun depan.

Bashir juga optimistik mengenai unjuran industri lapangan terbang global dengan berkata lapangan terbang secara umumnya tidak terlalu teruk terjejas oleh masalah ekonomi semasa.

"Keyakinan masih ada dalam industri itu, terutama dalam jangka panjang," katanya.

MAHB dipilih menjadi tuan rumah perhimpunan agung ACI 2009, persidangan dan pameran dunia yang akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 2 hingga 5 November.

"Ia merupakan pengiktirafan darpada komuniti lapangan terbang dunia, yang akan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini