Pages

Sunday, September 28, 2008

BANK WAMU PULA RUNTUH

BANK yang menyediakan pinjaman dan simpanan yang terbesar di Amerika Syarikat, Washington Mutual Inc (WaMu), telah ditutup oleh pemerintah Amerika dalam apa yang disifatkan sebagai kejatuhan bank Amerika yang terbesar dalam sejarah negara itu.

Aset perbankan, simpanan pelanggan dan beberapa hutang WaMu pula dijual kepada bank ketiga terbesar di Amerika Syarikat, JPMorgan Chase & Co, pada harga AS$1.9 bilion ($2.71 bilion).

Pemerintah Amerika mengambil langkah itu untuk 'membersihkan' sistem kewangannya yang dipenuhi pinjaman perumahan yang 'beracun'.

WaMu, yang berpusat di Seattle dan dibentuk sejak 1889, ditutup oleh Pejabat Federal bagi Penyeliaan Cermat (OTS) setelah ramai pelanggannya mengeluarkan duit mereka bernilai AS$16.7 bilion dalam bank itu sejak 15 September lalu.

WaMu runtuh kerana penilaian kreditnya diturunkan kepada penilaian 'tidak berharga'.

Dengan kerugian sebanyak AS$19 bilion akibat pinjaman perumahan subprima, WaMu telah meletakkan dirinya untuk dijual minggu lalu.

OTS menyatakan WaMu mempunyai mudah tunai yang tidak mencukupi dan berada dalam keadaan tidak stabil.

Pada Mac lalu, WaMu menolak tawaran pengambilalihan oleh JPMorgan yang meletakkan nilai WaMu sebanyak $4 sesaham.

Apabila bank dirampas, para pemegang saham mendapat pulangan yang amat rendah atau tiada langsung.

'JPMorgan mendapat WaMu pada harga yang amat rendah berbanding apa yang mereka ingin bayar tempoh hari. Ia amat tragik,' kata seorang pengamat pelaburan dan pencen di American Federation of State, County and Municipal Employees di California yang juga memiliki saham WaMu, Encik Scott Adams memberitahu agensi Bloomberg.

JPMorgan tidak akan membeli hutang WaMu termasuk tuntutan para pemegang sahamnya, menurut Federal Deposit Insurance Corp.

WaMu mempunyai 2,300 cawangan dan simpanan pelanggan sebanyak AS$182 bilion akhir Jun lalu.

Aset WaMu sebanyak AS$310 bilion amat besar berbanding aset AS$40 bilion bank Continental Illinois Corp yang runtuh, yang merupakan bank terbesar di Amerika yang runtuh pada 1984.

Keadaan WaMu kekal 'tenat' walaupun Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti Amerika melindungi saham syarikat itu daripada dijual pada tempoh pendek untuk meraih keuntungan pantas (short selling) demi menstabilkan harga sahamnya yang telah menjunam 95 peratus.

Daripada pinjaman hartanah bernilai AS$230 bilion yang diberikan akhir suku kedua lalu, AS$16.9 bilion pinjaman itu merupakan pinjaman subprima berisiko tinggi.-
Cyberita

No comments:

Posting Terkini