Pages

Sunday, August 31, 2008

Misi 'luar biasa' Michelle Obama


Enggan campur urusan tadbir, mahu jadi ibu dan Wanita Pertama disegani

"Hadirnya saya di sini sebagai isteri yang menyintai suaminya. Saya yakin beliau mampu menjadi Presiden Amerika Syarikat yang luar biasa."

Itulah kata-kata ringkas tapi mengandungi maksud mendalam yang dilontarkan Michelle Obama, 44, terhadap suami tersayang, Barack Obama, 47, yang kini secara rasminya menjadi calon Demokrat bagi pemilihan Presiden baru November ini.

Hakikatnya, perkataan luar biasa yang diucapkan Michelle sewaktu berucap hari pertama Konvensyen Parti Demokrat di Denver Colorado, Isnin lalu, terlalu sinonim dengan realiti kehidupan dilaluinya dan Obama.

Apa tidaknya, pasangan suami isteri paling popular di Amerika ketika ini itu sedang melakukan misi yang dianggap mustahil sebelum ini - mengejar impian sebagai kulit hitam pertama menduduki Rumah Putih.

Michelle juga bukan wanita atau isteri biasa. Sebelum episod Obama bergelar calon Presiden bermula, Michelle adalah wanita berpengaruh dan bergaji besar, menjadi peguam dan kemudiannya Naib Presiden Pusat Komuniti dan Hal Ehwal Luar Pusat Perubatan Universiti Chicago. Pendapatannya jauh lebih tinggi berbanding Obama sebagai Senator Illinois. Tetapi Michelle sanggup mengetepikan tugasannya, berkorban demi memastikan kejayaan Obama.

Berlatarbelakang pengalaman sukar membesar di pangsapuri satu bilik dengan bapanya pekerja biasa yang pernah ditindas dan dihalang menjadi ahli kesatuan kerana berkulit hitam, Michelle menjadi sumber inspirasi Obama.

Hasrat mereka, mahu merealisasikan apa yang pernah dianggap sebagai 'American Dream' - untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kulit putih, termasuk bergelar Presiden dan Wanita Pertama.

Tidak hairanlah ada yang mengatakan jika Obama dan Michelle adalah pasangan calon kulit putih, mereka pasti diangap wira yang menjanjikan perjalanan lebih lancar untuk menawan Rumah Putih.

Tetapi warna kulit mereka yang tidak secerah Rumah Putih menjadikan perjalanan mereka ke sana dipenuhi onak serta duri. Jika Obama dikutuk dan dikeji, Michelle turut terpalit sama. Terlalu banyak kejian berbanding pujian diterima wanita tinggi lampai yang dilahirkan pada 17 Januari, 1964 ini.

Dan penat lelah mereka seakan berbaloi pada detik keramat Khamis lalu apabila Obama dinobatkan sebagai calon rasmi Demokrat. Namun, detik istimewa dan bersejarah itu tidak hanya milik Obama seorang. Michelle juga tidak terkecuali dipuji ramai sewaktu menyampaikan ucapan pada hari pertama Konvensyen, Isnin lalu.

Buat pertama kalinya, rakyat Amerika melihat Michelle yang berbeza - bukan bermulut lantang, tetapi seorang wanita biasa yang tidak berminat membayangi suaminya dalam hal ehwal pentadbiran Rumah Putih andai terpilih kelak.

Michelle menegaskan, beliau menyerahkan tugasan memimpin di tangan Obama - pengakuan yang melegakan ramai, khususnya kalangan konservatif yang bimbang Michelle bakal mengikut jejak Hillary Clinton, isteri bekas Presiden Bill Clinton, yang didakwa campur tangan dalam urusan pentadbiran.

Ini disebabkan ramai rakyat tidak mahukan Wanita Pertama turut berperanan sebagai tangan ghaib mengemudi pentadbiran negara. Bagi Michelle, keutamaannya adalah sebagai ibu kepada dua anak-anaknya, Malia, 10, dan Sasha, 7 tahun.

"Tugas utama saya adalah menjadi ibu untuk memastikan keperluan mereka dipenuhi. Saya di sini sebagai ibu yang mana anaknya adalah nyawa serta menjadi dunianya. Masa depan mereka dan semua anak-anak kita, menjadi pertaruhan dalam pemilihan ini."

Dalam temubual lain, Michelle dipetik berkata: "Saya sering memberitahu Obama, ini adalah pilihan anda. Anda yang bakal menjadi Presiden Amerika. Saya tidak akan campur tangan dalam urusan pentadbiran negara mahu pun menjadi kuasa dominasi dii Rumah Putih."

Michelle ketika itu bersinar sebagai isteri, ibu dan anak yang menyintai keluarganya. Bukan Michelle 'Queen Control,' peguam bermulut lantang atau bijak pandai yang lebih digeruni daripada didekati. Ciri yang tidak harus ada bagi calon Wanita Pertama.

Beliau tidak mahu tugasnya yang pernah menjadi mentor Obama ketika detik awal pertemuan mereka - Michelle memberi tunjuk ajar kepada Obama sebagai pelatih yamg membawa kepada perkahwinan mereka pada 1992, terus dijadikan alasan untuk melabelkan dirinya membayangi Obama.

Michelle juga dikecam hebat apabila secara berjenaka mendedahkan diri Obama yang sebenar - seorang suami yang berdengkur kuat, mulut berbau pada sebelah pagi dan tidak cekap mengurus rumah tangga. Juga kelantangannya mengakui hanya baru sekarang, sepanjang usia dewasanya, beliau berbangga dengan Amerika kerana membenarkan perubahan berlaku apabila suaminya diterima sebagai bakal calon, beberapa bulan lalu.

Biarpun Michelle berulang kali menegaskan kenyataannya disalah tafsir, ucapannya Isnin lalu yang lebih bersifat keibuan, kewanitaan dan kesederhanaan, berjaya menenggelamkan suara-suara sumbang yang meraguinya.

Tidak kurang yang membandingkan Michelle sebagai Jackie Kennedy Onasis, isteri bekas Presiden John F Kennedy yang disanjung ramai rakyat Amerika sehingga ke hari ini. Michelle dilabelkan sebagai Jackie O kulit hitam.

Menyedari andaian itu, Michelle segera menyangkal. Bagi Michelle, yang ketara cuma cara mereka berpakaian. Namun berbanding Jackie yang diketahui kaki melaram dengan cita rasa serba serbi mewah, Michelle pula sebaliknya. Beliau tidak malu memakai pakaian serendah AS79 (RM malah menjadi RM252) yang berjenama biasa. Jackie O lahir dari keluarga bangsawan sedangkan Michelle pernah melalui kepayahan yang mendewasakannya.

Transformasi Michelle itu melegakan penyokongnya kerana sebelum ini beliau dilabelkan sebagai penuh perkauman dan bencikan golongan kulit putih hanya kerana sikap keterbukaannya membicarakan masalah perkauman - isu yang terlalu dekat di hatinya dan Obama yang pernah sama-sama merasai kesan diskriminasi akibat warna kulit.

Dan kini, mereka sama-sama berganding bahu untuk memastikan penduduk kulit hitam yang dilihat golongan kelas kedua Amerika, sememangnya mampu menguasai Rumah Putih.

Memang gah bunyinya impian 'American Dream' yang disasarkan Obama mahu pun Michelle. Apatah lagi di negara yang mendabik dada pejuang demokrasi dunia, tetapi sentimen perkauman masih menebal. Di sini, pengaruh kulit putih dan golongan Yahudi yang memegang kuasa ekonomi serta antara penentu calon pemimpin negara, masih ketara. Mampukah Michelle dan Obama melakukannya? Dunia perlu menunggu November ini bagi melihat sama ada misi mereka mustahil atau mereka sememangnya pasangan luar biasa apabila dipilih penghuni baru Rumah Putih.

Oleh Nurul Adlina Kamaludin. BM

No comments:

Posting Terkini