Pages

Sunday, August 31, 2008

Angka korban gempa di China meningkat 25 orang

BEIJING: Pasukan penyelamat terus dikerah ke kawasan bencana hari ini apabila gempa berukuran 6.1 skala Richter di barat daya China kini meningkat sekurang-kurangnya 25 orang dan 300 lagi cedera

Gempa kuat di sempadan antara Wilayah Sichuan dan Yunnan, semalam menyebabkan lebih 30,000 rumah di Yunan saja rosak teruk atau runtuh, lapor agensi berita Xinhua, hari ini.

Sichuan pada 12 Mei lalu dikejutkan dengan gempa 8.1 skala Richter - paling buruk dalam sejarah 30 tahun China dengan lebih 88,000 orang terkorban dan ribuan lagi masih hilang.

Kejadian terbaru semalam pula dilaporkan 17 orang disahkan maut, tiga hilang dan 192 cedera di Daerah Huili, Sichuan.

Tiga lagi terbunuh di Panzhihua, juga di Sichuan, iaitu kawasan paling dekat dengan pusat gempa, manakala lima lagi maut di Wilayah Yunnan.

Bagaimanapun, Kementerian Hal Ehwal Awam China awal pagi ini meletakkan angka kematian kini 21 orang.

Lebih 2,000 penyelamat sudah dihantar ke zon bencana membawa khemah, makanan, air dan ubat-ubatan untuk membantu mangsa gempa.

Sejak semalam, 176 gegaran susulan dicatatkan termasuk 20 yang berkekuatan 3.0 skala Richter. - AFP

No comments:

Posting Terkini