Pages

Friday, December 2, 2011

Lanun Somalia bebaskan kapal tangki Singapura


SEOUL: Lanun Somalia telah membebaskan kapal tangki Singapura tetapi masih menawan empat kru warga Korea Selatan.

Mereka berbuat demikian bagi mendapatkan pembebasan rakan lanun yang kini ditahan di Korea Selatan.

Menurut seorang pegawai Kementerian Ehwal Luar Korea Selatan, lanun itu membawa empat kru Korea Selatan ke Somalia selepas meninggalkan kapal MT Gemini dan membebaskan 21 kru lain.

Lanun itu telah menuntut agar lima lanun Somalia yang ditahan dalam operasi angkatan Laut Korea Selatan pada awal tahun ini dibebaskan.

Komando angkatan laut Korea Selatan telah menyelamatkan 21 kru kapal milik negara itu yang ditawan lanun pada Januari lalu.

Seramai lapan lanun telah dibunuh dan lima ditangkap.


Kelima-lima lanun itu telah dibicarakan di Korea Selatan dan dikenakan hukuman penjara dari 13 tahun sehingga hukuman penjara seumur hidup.

Mereka dikenakan hukuman penjara yang lama sebagai amaran kepada lanun-lanun lain.

'Para lanun (yang merampas MT Gemini) telah menuntut pampasan daripada pemerintah kami bagi pihak rakan-rakan lanun mereka yang telah terbunuh dan menggesa agar lanun yang ditahan, dibebaskan.

'Kami tidak akan berunding dengan lanun dan kami kini berhubungan dengan rapat dengan syarikat Singapura, bagi mendapatkan pembebasan empat kru itu,' kata pegawai itu.

Kapal MT Gemini, yang dimiliki oleh syarikat Glory Ship Management, sedang membawa 28,000 tan minyak kelapa sawit mentah dari Indonesia ke Kenya apabila ia dirampas kumpulan lanun itu pada 30 April lalu dan dipesongkan ke Somalia.

Kapal itu mempunyai 13 kru warga Indonesia, tiga warga Myanmar, lima warga China dan empat warga Korea Selatan.

Lanun itu kemudian meninggalkan kapal itu di pelabuhan Hobyo di Somalia selepas syarikat Singapura itu menjatuhkan wang tebusan yang tidak didedahkan jumlahnya daripada helikopter, kata pegawai Kementerian Ehwal Luar Korea Selatan itu. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini