Pages

Saturday, June 2, 2012

Mantan PM Abdullah pernah minta penjelasan polis tentang penglibatan Najib

KUALA LUMPUR: Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, mendedahkan bahawa Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah memanggil pimpinan tertinggi Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung tuduhan bahawa Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, terbabit dalam pembunuhan penterjemah warga Mongolia, Cik Altantuya Shaariibuu.
Menurut Tan Musa Hassan, beliau sendiri memberi taklimat kepada Tun Abdullah, yang merupakan perdana menteri ketika itu, mengenai tuduhan yang dilemparkan terhadap Datuk Seri Najib.
"Saya beri taklimat kepadanya. Saya katakan yang terlibat (ialah) Abdul Razak Baginda bersama dua anggota polis (yang telah disabitkan dengan tuduhan pembunuhan itu).

"Beliau (Tun Abdullah) tanya Datuk Seri Najib ada terlibat sama? Saya kata tak ada menunjukkan dia terlibat sama," kata Tan Sri Musa dalam wawancara yang disiarkan semalam.
Tan Sri Musa berkata adalah tidak benar dakwaan bahawa isteri Datuk Seri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, ada di tempat kejadian semasa mendiang Altantuya dibunuh.
"Orang boleh 'spin' macam-macam, kata isteri Najib pun ada sama masa (Altantuya diletupkan). Saya dapati (mereka) tak terlibat," katanya sambil menambah yang melakukannya ialah dua anggota polis terbabit.
Tan Sri Musa berkata, taklimat itu diberikan kepada Tun Abdullah selepas penyiasatan polis selesai dan keputusan diambil untuk mendakwa Encik Abdul Razak dan dua anggota polis tersebut pada awal tahun 2007.
Mendiang Altantuya dijumpai mati pada 18 Oktober 2006 di sebuah lokasi di Shah Alam selepas ditembak dan diletupkan dengan bahan letupan.
Selain Encik Abdul Razak, dua anggota polis - Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar dihadapkan ke mahkamah.
Pada 9 April 2009, Azilah dan Sirul didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati.
Encik Abdul Razak pula didapati tidak bersalah dan dibebaskan.
Rayuan yang difailkan oleh Azilah dan Sirul Azhar terhadap hukuman tersebut dijadual didengar Ogos ini.

No comments:

Posting Terkini