Pages

Wednesday, April 22, 2009

MUSLIM PERLU BERFIKIRAN GLOBAL DAN SEIMBANG

PARA pelajar Melayu/Islam perlu berfikiran global dan digalakkan memasuki universiti terkemuka di dunia, seperti Universiti Oxford, bagi mengimbangi ilmu Barat dan Islam.

Pensyarah di Universiti Oxford, Dr M. Afifi Al-Akiti, 33 tahun, berkata:

'Dalam kehidupan sekarang, amat penting bagi pelajar Islam mempunyai imbangan dalam kedua-dua pelajaran Islam dan Barat.

Sebagai seorang Melayu, saya menggalakkan mereka yang berkaliber dan mempunyai latar belakang pelajaran Islam memasuki pusat ini.'

Dr Afifi, pensyarah bidang Agama-agama Dunia (World Religions) dan Pengajian Islam di Pusat Pengajian Islam di universiti itu, berada di Singapura atas undangan peribadi Imam Masjid Ba'alwie, Habib Hasan Al-Attas, baru-baru ini.

Beliau berkata pelajaran agama masih memainkan peranan penting di samping pengajian ilmu Barat yang perlu didalami masyarakat Islam.

'Sebagai contoh, mata pelajaran fikah membolehkan seseorang pelajar itu menajamkan kemahirannya menghuraikan sesuatu dengan lebih teliti.

'Pada masa yang sama, mereka juga harus menguasai bahasa Inggeris dengan baik,' tambahnya.

Dr Afifi menuntut di beberapa buah di madrasah di Jawa Timur sebelum melanjutkan pengajiannya ke Universiti Queens di Belfast, Ireland, dan mendapat Ijazah Kelas Pertama dalam bidang Falsafah Akademik (Scholastic) dan Teologi.

Beliau melanjutkan pengajian sarjana dan ijazah kedoktorannya di Universiti Oxford dan kemudian mengajar di sana.

Berkongsi pengalamannya mengajar di Pusat Pengajian Islam di universiti ternama itu, beliau akur ia merupakan satu cabaran bagi dirinya.

'Memang ia satu cabaran bagi saya. Namun kita tidak boleh memikirkan tentang identiti kita sebagai satu kelemahan.

'Sebagai contoh, kita tidak boleh berfikir sebagai seorang Melayu atau Muslim dan berfikir kita tidak boleh melakukannya.

'Bagi saya, ini juga merupakan satu cabaran daripada Allah untuk membuat saya menjadi seorang insan yang lebih baik lagi,' kata beliau.

Dr Afifi, yang juga zamil dengan Yayasan Kemajuan Sains Kuwait, turut mempromosikan pengajian Islam terutama sekali falsafah Islam, teologi dan sains dalam kelas-kelas pengajiannya.

Menyentuh tentang keganasan yang dikaitkan dengan Islam, beliau berkata kaitan itu tidak benar sama sekali.

Bahkan, beliau mengutuk dengan keras pengganas yang membunuh atas nama Islam.

'Jika seseorang itu memusnahkan dirinya sendiri, iaitu menjadi seorang pengebom nekad, perkara itu adalah salah di sisi Islam,' ujar beliau.

Ketika diminta memberi pandangannya mengenai peranan Islam dalam dunia sekarang, beliau berkata:

'Islam memberi kita kekuatan yang mendalam untuk menghadapi cabaran-cabaran hidup.

'Islam merupakan satu agama yang senantiasa memaafkan umatnya.'

Menurut Dr Afifi, Islam juga mempunyai imbangan antara idealisme dan realisme.

'Menjadi seorang Muslim bukan bermaksud seseorang itu harus menjadi seorang idealistik. Sebab, jika seseorang itu terlalu idealistik, dia akan mudah menjadi muram dan marah.

'Agama kita memberi kita asas untuk mengawal diri kita,' tambah bapa dua anak itu.

No comments:

Posting Terkini