LITTLE ROCK (Arkansas): Seorang lelaki yang mempunyai 'motif politik dan keagamaan' telah membunuh seorang askar yang baru sahaja menamatkan latihan asas dan mencederakan seorang lagi, dalam satu kejadian serangan ke atas sebuah pusat pengambilan tentera semalam, kata polis.
Kejadian tembak-menembak itu bagaimanapun dipercayai bukan sebahagian daripada satu rancangan lebih besar.
Satu laporan polis berdasarkan wawancara dengan suspek berkata Abdulhakim Mujahid Muhammad, 23 tahun, memberitahu polis dia telah memerhatikan dua askar beruniform itu memandu ke arah pusat latihan tersebut dan mula menembak.
'Dia melihat mereka berdiri di sana dan memandu lalu menembak mereka,' kata Leftenan Terry Hastings kepada agensi berita AP.
'Itulah apa yang dikatakannya,' ujar beliau.
Kedua-dua askar yang ditembak itu telah menamatkan latihan asas mereka dalam tempoh dua minggu lalu dan bukan rekrut biasa, kata Leftenan Kolonel Thomas F. Artis, daripada Batalion Rekrut Oklahoma City, yang menyelia pusat di Little Rock itu.
Encik William Long, 23 tahun, dari Conway, mati manakala Encik Quinton Ezeagwula, 18 tahun, dari Jacksonville, cedera tetapi dalam keadaan stabil, kata Ketua Polis Stuart Thomas.
Kedua-duanya dari kawasan kejiranan berdekatan dan secara sukarela bekerja di pusat perekrutan tersebut untuk menarik lebih ramai penduduk tempatan menyertai tentera.
Pesanan-pesanan yang ditinggalkan untuk anggota keluarga Encik Long dan Encik Ezeagwula tidak dijawab dengan segera semalam.
Polis telah menahan Muhammad di sebuah pusat belibelah di barat Little Rock sejurus selepas kejadian menembak di Pusat Kerjaya Tentera Laut itu.
Muhammad memeluk agama Islam pada satu ketika dalam hidupnya dan dalam wawancaranya dengan polis menunjukkan bahawa dia 'mungkin mempunyai motif politik dan agama bagi serangan itu', kata Encik Thomas.
Bagaimanapun, Muhammad, yang sebelum memeluk Islam bernama Carlos Bledsoe, bukan sebahagian daripada satu kumpulan atau komplot lebih besar, kata ketua polis itu lagi. -- AP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment