DUBAI: Sebuah kumpulan militan Sunni mengaku bertanggungjawab di atas serangan bom nekad di sebuah masjid Syiah di Iran yang mengorbankan 25 orang minggu lepas, lapor badan yang memantau laman web militan.
Jundullah (Tentera Allah) berkata ia serangan balas dendam menyusuli tindakan pemerintah Iran menghukum gantung penduduk minoriti Baluch bermazhab Sunni di Iran, kata badan Mencari Entiti Pengganas Antarabangsa (Site) Isnin lalu.
Kumpulan itu menafikan tiga lelaki yang digantung pihak berkuasa Iran di bandar Zahedan Khamis lalu terlibat dalam serangan tersebut.
Ia menyiarkan satu kenyataan dalam laman webnya dan berkata ketiga-tiga lelaki itu sudah lama dipenjara. Hanya seorang daripada mereka anggota kumpulan itu, dan tidak seorang pun daripada mereka terlibat dalam operasi tersebut.
Gerakan penentangan mengisytiharkan bahawa serangan itu 'dilancar sebagai menuntut bela di atas kematian pejuang kami yang dihukum mati tahun lepas', lapor Site.
'Kami memberi amaran bahawa sebarang hukuman mati ke atas anggota akan mengakibatkan tindak balas keras,' tambah Jundallah dalam lamannya.
Kaum Baluch mendiami wilayah Sistan-Baluchestan, di tenggara Iran, yang bersempadan dengan Afghanistan dan Pakistan.
Isnin lalu, lima orang terbunuh dalam satu kejadian membakar sebuah bank di Zahedan, ibu kota wilayah itu
Rangkaian televisyen Press TV berkata serangan itu menjadikan Mehr Financial and Credit Institute sasaran kerana ia ada kaitan dengan kumpulan militia Basij.
Bagaimanapun keadaan di bandar itu kini tenang dan polis telah menahan beberapa suspek.
Jumaat lalu, sekumpulan orang bersenjata melepaskan tembakan ke atas pejabat kempen pilihan raya Presiden Iran, Encik Mahmoud Ahmadinejad, di Zahedan, mengakibatkan tiga orang cedera.
Pertempuran meletus Ahad lalu selepas terdapat khabar angin seorang ulama Sunni telah diserang.
Jundullah melancarkan penentangan terhadap pucuk pimpinan Syiah sejak beberapa tahun.
Duta Besar Pakistan ke Iran telah dipanggil ke Kementerian Luar Iran berhubung serangan bom itu.
'Kumpulan pelampau di rantau ini ada kaitan dengan askar asing di Afghanistan,' kata Menteri Luar Iran, Encik Manouchehr Mottaki, kepada pemberita. -- AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment