BANGALORE: India semalam melancarkan satelit pengintip buatan Israel ke ruang orbit bertujuan meningkatkan keupayaan pemantauan selepas serangan pengganas di Mumbai.
Satelit Risat-2 seberat 300 kilogram itu dihasilkan dengan kerjasama firma Israel, Aerospace Industries Ltd. Ia dilancarkan dari tapak pelancaran Sriharikota di wilayah Andhra Pradesh, 90 kilometer ke utara Chennai, pada 6.45 pagi semalam, kata Pertubuhan Kajian Angkasa Lepas India (Isro) sebagaimana yang ditukil agensi berita Press Trust of India (PTI).
'Ia berjaya masuk ke ruang orbit 20 minit selepas dilancarkan pagi tadi,' kata Encik G. Padmanabhan, seorang saintis ISRO kepada agensi berita AFP.
Selain satelit Risat-2, roket PSLV turut membawa satelit mikro Anusat, seberat 40 kilogram, yang dibina Universiti Anna.
Satelit pengintip Risat-2 akan memantau terutama kawasan sempadan India bagi membantu operasi antipengganas dan antipenyusupan.
Satelit Risat-2 dijangka berada di ruang orbit selama tiga tahun. Ia boleh melihat menembusi awan dan memantau keadaan banjir, taufan dan pengurusan bencana, kata pula Encik S. Satish, jurucakap Isro.
'Ia boleh digunakan juga bagi memantau penyusupan rentas sempadan dan dapat mengambil gambar benda-benda kecil di bumi,' kata Encik Rodham Narasimha, seorang profesor di Institut Nasional Pengajian Lanjut (Nias) di Bangalore.
Menurut Isro, satelit Anusat pula hanya dapat bertahan setahun di ruang orbit. Ia akan menjalankan kerja pemantauan kemarau, kawasan terbiar, perancangan bandar dan kajian lain.
Dengan pelancaran Risat-2, Isro kini mempunyai sembilan satelit di ruang orbit.
India bercadang melancarkan sebuah lagi satelit, Oceansat-2, pada Jun atau Julai ini. -- Agensi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment