ISU masa hadapan khidmat kewangan Islam di sebalik sekitaran ekonomi yang mencabar dan cabaran dihadapi dalam pasaran kewangan sejagat akan dibincangkan oleh para banker pusat kewangan sejagat yang akan berhimpun buat pertama kali di Singapura.
Mereka akan berada di sini bagi menghadiri Puncak Lembaga Khidmat Kewangan Islam (IFSB) keenam yang akan berlangsung pada 5-8 Mei di Hotel Shangri-La.
Ini adalah kali pertama puncak itu diadakan di Singapura dan di sebuah negara Asia Tenggara.
Menteri Kanan dan Pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Encik Goh Chok Tong, akan menjadi tetamu terhormat dalam sidang puncak itu.
Bertemakan Masa Hadapan Khidmat Kewangan Islam, Setiausaha Agung IFSB, Profesor Rifaat Ahmed Abdel Karim, berkata tema itu bertepatan pada masanya dan penting jika diambil kira ramalan pertumbuhan perusahaan perkhidmatan kewangan Islam (IFSI) dan perkembangan pasaran kewangan global baru-baru ini.
'Pasaran kewangan global dijangka memberikan cabaran kepada pihak berkepentingan IFSI,' katanya.
Pengarah Eksekutif MAS, Encik Tai Boon Leong, berkata puncak itu merupakan 'satu acara penting bagi Singapura dan juga industri kewangan Islam di sini'.
Ia menunjukkan pentingnya peranan Singapura sebagai pusat kewangan antarabangsa yang mempunyai 'nilai usulan kukuh' bagi khidmat kewangan Islam.
Beberapa penceramah utama telah dijemput bagi puncak itu termasuk Presiden Bank Pembangunan Islam (IDB), Dr Ahmad Mohamed Ali Al-Madani; Gabenor Agensi Kewangan Arab Saudi dan Pengerusi Majlis IFSB, Dr Muhammad Sulaiman Al-Jasser; Gabenor Penyelia Khidmat Kewangan Korea, Encik Kim Jong Chang; dan Dekan Profesor Amalan Dasar Awam Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, Profesor Kishore Mahbubani.
Turut memberikan ceramah dan menghadiri puncak itu ialah Gabenor Bank Negara Malaysia, Dr Zeti Akhtar Aziz; Gabenor Bank Pusat Bahrain; Encik Rasheed Mohammed Al Maraj; Ketua Eksekutif, Penguasa Khidmat Kewangan Dubai, Encik Paul Koster; dan juga Profesor Rifaat.
Diperkenalkan pada 2002, IFSB merupakan sebuah pertubuhan yang menetapkan piawaian bagi mempromosikan kestabilan dalam industri kewangan Islam.
Sidang itu akan menggumpulkan pegawai kanan bank-bank negara, penguasa sekuriti dan insurans anggota IFSB.
IFSB mempunyai 163 anggota, termasuk bank, badan penguasa dan pertubuhan. MAS menjadi anggota penuh IFSB pada 2005.
MAS menyumbang kepada kerja- kerja IFSB melalui penyertaannya dalam Kumpulan Kerja Proses Semakan Penyeliaan IFSB, Kumpulan Bertindak Pasaran Kewangan Islam IFSB dan Kumpulan Kerja Isu Khas Dalam Keupayaan Modal IFSB.
Sidang puncak itu pernah diadakan di London, Doha, Beirut dan Dubai.
Industri kewangan Islam telah berkembang dengan pesat sejak beberapa tahun lalu. Hari ini, ia dianggarkan bernilai AS$750 bilion ($1.12 trilion) dan berkembang sebanyak 20 peratus setahun.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment