MENTERI ekonomi Asean dan Korea sepakat untuk menjalin kerjasama lebih erat dalam bidang ekonomi dengan memeterai satu perjanjian pelaburan Asean-Korea sewaktu Sidang Puncak Peringatan Asean-Korea di Pulau Jeju, Korea Selatan, semalam.
Perjanjian itu yang membentuk sebahagian Kawasan Dagangan Bebas Asean-Korea akan melengkapi perjanjian dagangan bebas (FTA) dan membolehkan kedua-dua pihak membuka luas pasaran mereka dan membawa hubungan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi.
Perjanjian itu akan mencipta kawasan dagangan bebas dengan lebih 600 juta penduduk dan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) yang mencecah AS$1.5 trilion ($3 trilion), antara lain akan menghapuskan sebahagian besar tarif atau cukai dagangan dan melonggarkan pelbagai sekatan import.
Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Lim Hng Kiang, berkata perjanjian pelaburan yang dimeterai itu adalah menyeluruh dan akan menggalak aliran pelaburan dan mewujudkan aturan pelaburan yang liberal, fasilitatif, telus dan berdaya saing dalam Asean dan Korea.
'Perjanjian itu adalah menyeluruh dan bertujuan membawa lebih kepastian kepada pelabur, selain memperkukuh daya penarik Asean dan Korea sebagai destinasi pelaburan dan berupaya menambah pelaburan di kedua-dua pihak,' ujar Encik Lim lagi.
Di bawah perjanjian itu, Asean dan Korea bersetuju untuk membuka aturan pelaburan mereka kepada pelabur dan melayan pelaburan itu dengan lebih kondusif.
Pemerintah negara-negara Asean dan Korea juga tidak dibenarkan mengambil alih aset syarikat tanpa pampasan yang adil dan mencukupi dan sekiranya berlaku pertikaian pelaburan, pelabur boleh mengambil tindakan undang-undang di mahkamah setempat atau antarabangsa.
Perdagangan Asean dengan Korea mencecah AS$90 bilion setahun dan pelaburan asing secara langsung (FDI) dari Korea melonjak daripada sekitar AS$3.1 bilion pada 2007 kepada AS$5.5 bilion tahun lalu.
Menurut Encik Lim, Korea merupakan antara rakan dagang dan pelaburan yang kelima terbesar dengan Asean.
'Perjanjian ini akan terus menyemai perkongsian ekonomi yang kukuh antara Asean dan Korea. Pemeteraian FTA pula menunjukkan penglibatan berterusan Asean dalam pasaran global dan mencerminkan komitmen Asean dan Korea dalam memastikan aturan dagangan dan pelaburan yang terbuka,' tambahnya lagi.
Februari lalu, Asean telah memeterai perjanjian dagangan bebas (FTA) dengan Australia dan New Zealand.
Asean turut memeterai FTA dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada Disember tahun lalu.
Pemerintah Singapura sendiri telah menandatangani lebih 16 perjanjian dagangan bebas (FTA) semenjak 1993 untuk membantu pengeksport Singapura menembusi pasaran di 31 negara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment