Pages

Sunday, May 15, 2016

Muzium Kristal Semula Jadi Terbesar, Tarikan Terbaharu Di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 15 Mei -- Pulau Pinang sememangnya terkenal sebagai destinasi pelancongan yang mempunyai pelbagai muzium dan kemunculan Muzium Kristal semula jadi yang terbesar di dunia di sini, bakal menjadi daya tarikan pelancong ke Pulau Mutiara.

Terletak di No. 15, Lorong Baru, George Town, pelawat muzium ini berpeluang melihat hampir 2,000 jenis keunikan kristal semula jadi yang terhasil di negara ini.

Pengasas Muzium Kristal, Ong Siu Huat berkata muzium ini mempamer 100 peratus koleksi kristal semula jadi yang terdapat di Malaysia dengan kebanyakannya ditemui di Gunung Keriang, Kedah.

"Kelebihan pelawat ke muzium ini ialah mereka berpeluang untuk menyentuh kristal semula jadi dalam pelbagai bentuk seperti keris, kasut, bunga, gajah, durian, buaya, burung hantu dan naga," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata muzium ini mendapat pengiktirafan 'The Malaysia Book of Records' sebagai muzium kristal semula jadi terbesar di Malaysia pada Ogos 2014.



"Kami sedang berusaha untuk menyiapkan segala keperluan untuk memohon Guinness World Records sebagai sebuah Muzium Kristal Semula jadi yang paling besar di dunia," katanya.

Beliau berkata hampir 95 peratus daripada kristal yang dipamer dalam muzium ini merupakan kristal kalsit semula jadi yang tidak diproses tetapi dipulihara dengan baik supaya ia kekal berkilau dan cantik.

"Kebanyakan kristal yang dapat ditemui di Malaysia juga adalah kristal kalsit yang merupakan sejenis kristal yang lebih lembut berbanding kristal kuarza yang agak keras dan boleh diproses untuk dijadikan cincin, gelang dan barang kemas lain," katanya.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata disebabkan faktor cuaca, kristal kuarza jarang ditemui di negara ini. Kristal jenis itu banyak ditemui di negara seperti Myanmar, Filipina dan Brazil.

"Setelah membeli kristal ini daripada pencari kristal, kami akan menggilapnya daripada habuk dan memulihara dengan menyiram air mineral seminggu sekali," katanya.

Ong, yang bermula mengumpul kristal sejak 1999, berkata kristal merupakan sejenis batu permata hidup seperti tumbuh-tumbuhan yang lain kerana ia memerlukan air dan mampu bertukar warna atau tumbuh.

Beliau berkata kristal yang disimpan di muzium itu sentiasa disiram dengan air mineral atau air bertapis tanpa klorin setiap minggu supaya ia kekal cantik dan bersinar.

"Selain daripada kecantikan kristal yang pelbagai warna, sesebuah kristal yang semula jadi mampu memberikan aura kepada individu yang memegang atau menyentuhnya," katanya.

Muzium kristal dua tingkat itu dibuka untuk orang ramai dari 9.30 pagi hingga 6.30 petang setiap hari, sejak 20 April lepas.

Tiket masuk untuk dewasa berharga RM20, RM10 untuk kanak-kanak dan RM15 bagi warga emas 60 tahun ke atas bagi warga Malaysia.

Tiket bagi pelancong asing, ialah RM30 bagi dewasa, RM15 kanak-kanak dan RM20 untuk warga emas.

-- BERNAMA 

No comments:

Posting Terkini