PAS Selangor telah menyenarai pendek enam calon-calon berpotensi untuk diketengahkan pada pilihan raya kecil Sungai Besar, kata bendaharinya, Zaidy Abdul Talib.
Sambil melahirkan harapan tidak berlakunya pertembungan tiga penjuru untuk kerusi itu, beliau turut menekankan sejauh keprihatinan pucuk pimpinan PAS negeri, parti itu akan bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut.
“Wallahu a’lam,” katanya ketika ditanya sama ada bakal berlaku pertandingan tiga penjuru.
“Kita harap tak ada lah, tapi PAS memang kita dah firm, konsisten bahawa kita akan bertanding,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan semasa menghadiri pelancaran perkhidmatan bas percuma kerajaan Selangor untuk Selayang.
Sebelum ini, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu berkata, pihaknya hanya akan membuat keputusan pada 15 Mei ini sama ada akan bertanding pada dua pilihan raya kecil (PRK) akan datang termasuk Sungai Besar.
“Kita akan bincangkan perkara (bertanding dalam dua PRK) pada 15 Mei depan,” kata Mohamad.
“Kita masih lagi menunggu pengumuman rasmi dari kerajaan, kerajaan pun tak umum kekosongan jadi kita pun tak bincang langsung mengenainya tapi apa pun kita akan berbincang pada 15 Mei ini,” katanya yang juga mesra dengan panggilan Mat Sabu.
Mengulas lanjut, Zaidy berkata, parti Islam itu telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil itu kerana menjangka pilihan raya umum ke-14 yang lebih awal selain sokongan akar umbi yang kuat di kawasan itu.
Kesemua enam calon-calon berpotensi itu adalah penduduk tempatan di kawasan Sungai Besar, tambahnya.
“Tapi apapun, kita serahkan kepada PAS Pusat. Tapi saya nak beritahu bahawa, (kami) banyak senarai, boleh pilih, dan tidak ketandusan calon-calon yang berwibawa yang kita boleh ketengahkan.
"Kita akan melihat dari sudut strategi, keperluan, kehendak masyarakat dan sebagaimana yang terbaik," jelasnya.
No comments:
Post a Comment