Pages

Saturday, May 14, 2011

Pakatan Rakyat mahu tawan 17 kerusi DUN Melaka


MELAKA: Cuaca  terik tidak menghalang kira-kira 300 orang  hadir ke majlis perasmian Ibu Pejabat Perhubungan KEADILAN Melaka yang baru di Bukit  Baru Melaka.
Dua khemah yang didirikan tidak mampu menampung jumlah hadirin yang begitu ramai memberi sokongan kepada pembukaan Ibu Pejabat Perhubungan KEADILAN Melaka  itu.
Pengerusi Majlis Pimpinan Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata KEADILAN Melaka menghadapi pelbagai kesukaran untuk menganjurkan majlis sesederhana itu dari pihak berkuasa yang menjadi perkakas Umno Barisan Nasional (BN) hinggakan ‘dipaksa’ memohon permit untuk meletakkan khemah pengunjung.

“Kira-kira 60 hingga 70 peratus kos ibu pejabat ini dibiayai orang ramai. Saya berterima kasih kepada orang ramai yang memberi sumbangan. Apabila kita jadi kerajaan esok, saya tetap ucapkan terima kasih,” kata Shamsul disambut gelak ketawa hadirin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Khoo Poay Ting dari DAP turut hadir meraikan majlis petang ini.
Dalam ucapannya, Khoo yakin kesepakatan Pakatan Rakyat di Melaka akan  ‘menghadiahkan’ angka 11 buat Perdana Menteri, Datuk seri Najib Razak memandangkan itu angka kegemarannya.
“Najib suka nombor 11, jadi kita biar BN menang 11 kerusi sahaja dalam pilihan raya umum akan datang. Lagi 17 kerusi milik Pakatan Rakyat,” kata Khoo disambut tepukan gemuruh hadirin.
Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merasmikan ibu pejabat dalam ucapannya melahirkan keyakinan dengan sokongan orang Melaka kepada KEADILAN.
“Pada masa yang sama, Najib kini semakin takut apabila fitnah yang dilemparkan kepada beliau tidak dipercayai rakyat. Najib lihat fitnah mampu ditangkis dari itu dia tutup ruang untuk kita bercakap,” katanya.
Beliau membuat kenyataan itu merujuk kepada kehadiran dua trak Polis Simpanan Persekutuan (FRU) sewaktu beliau merasmikan pejabat KEADILAN di Johor dua minggu lalu.
Pada majlis sama, Anwar turut menerima borang keahlian baru KEADILAN Cabang Masjid Tanah dan Bukit Katil.
Beliau kemudian menandatangani plak perasmian dan meninjau pejabat baru KEADILAN itu sebelum beredar ke Hotel Straits Meridian untuk Seminar Maqasid Syariah peringkat Melaka.




No comments:

Posting Terkini