Pages

Sunday, June 3, 2012

4 hari sambut Jubli Intan Ratu Elizabeth

RAPTAI SAMBUTAN: Anggota tentera berkuda berbaris keluar dari bangunan Parlimen semasa raptai perarakan kereta kuda istiadat yang akan bergerak dari Westminster Hall ke Istana Bunckingham bagi sambutan jubli intan Ratu Elizabeth II bertakhta pada Selasa.
- Foto AFP

LONDON: Britain akan meraikan jubli intan Ratu Elizabeth II bertakhta dengan perayaan selama empat hari bermula hari ini (semalam).
Antara acara yang telah dirancangkan bagi menyambut 60 tahun Ratu Elizabeth II bertakhta termasuk pertunjukan gilang-gemilang 1,000 bot di sungai dan konsert oleh bintang-bintang terkemuka.

Ratu Elizabeth II akan memulakan sambutan perayaan dengan acara yang diminatinya iaitu menyaksikan acara lumba kuda di Epsom Derby hari ini sebelum beliau menaiki kapal istiadat di Sungai Thames, esok.
Sejuta orang dijangka membarisi tebing sungai untuk melihat pelbagai jenis bot dan kapal yang akan mengambil bahagian dalam pertunjukan itu.
Sementara itu, sebuah konsert berdekatan Istana Buckingham yang menampilkan bekas anggota kumpulan Beatles, Paul McCartney, serta artis popular lain pula akan diadakan lusa.
Acara sambutan jubli intan gilang-gemilang itu kemudian akan diakhiri dengan perbarisan penuh istiadat pada Selasa.
Selain daripada acara-acara utama yang dianjurkan di London, berjuta orang di seluruh negara dijangka sama-sama menyambut perayaan jubli intan Ratu Elizabeth II dengan mengadakan pesta di rumah mereka.
Mereka akan manfaatkan sepenuhnya cuti dua hari yang diberikan bagi memperingati detik bersejarah itu.
Ratu Elizabeth II, 86 tahun, merupakan kerabat diraja Britain yang kedua menyambut jubli intan.
Mendiang Ratu Victoria merupakan kerabat diraja Britain pertama menyambut jubli intan pada 1897.
Bendera Union Jack kelihatan megah berkibar di jalanan dan tingkap-tingkap kedai.
"Ia merupakan sambutan apa yang telah beliau capai dalam masa 60 tahun dan ia juga merupakan sambutan meraikan institusi diraja.
"Secara tidak formal, ia juga merupakan sambutan identiti negara dan semangat kebangsaan," kata Encik Robert Johnson, penulis tentang institusi diraja.
Acara sambutan diadakan sedang keluarga diraja menikmati tahap sokongan tertinggi dalam masa berdekad-dekad dengan 80 peratus rakyat Britain mahukan negara mereka kekal sebagai sebuah kerajaan.
Tahap sokongan itu serupa tahap sokongan yang diterima pada 1953, tahun Ratu Elizabeth II, yang ketika itu berusia 25 tahun, ditabalkan.
Ratu Elizabeth II telah mengunjungi 116 negara dalam masa enam dekad lalu tetapi sebagai mengakui keuzuran beliau dan suaminya, Putera Philip, tugas mengunjungi negara-negara Komanwel telah diserahkan kepada anak dan cucunya bagi tahun perayaan jubli intan ini. - AFP.

No comments:

Posting Terkini