Sunday, November 6, 2011
Buku bergambar 'Che Det' dilancar Khamis ini
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan melancarkan buku bergambar "Che Det" pada 10 Nov ini yang memaparkan detik-detik hebat dalam kerjaya Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat, melengkapi sebahagian usaha pendokumentasian sejarah pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.
Buku dwibahasa yang mempunyai 418 halaman, diterbitkan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, disusun sebegitu rupa agar ia dapat dijadikan bahan penghayatan terhadap tokoh-tokoh negara dan menjadi rujukan sejarah.
Buku itu mengandungi lebih daripada 470 gambar berkapsyen yang dirakam dari semasa ke semasa sejak Dr Mahathir, atau lebih mesra dikenali sebagai "Che Det" memegang jawatan Perdana Menteri dari 1981 sehingga beliau bersara pada 2003.
"Bernama berasa amat bangga menerbitkan buku ini untuk menghargai jasa dan sumbangan besar kepada rakyat dan negara oleh Dr Mahathir yang mengukir nama sebagai Negarawan Ulung, Bapa Pemodenan Malaysia, Jurujual No.1 Malaysia dan Wira Dunia Ketiga, kata Timbalan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zulkefli Salleh, yang juga tunjang sidang pengarang bagi penerbitan buku mewah itu.
Zulkefli berkata buku bergambar ini padat dengan maklumat yang meliputi tempoh Dr Mahathir sebagai perdana menteri keempat, dengan peranannya dalam sistem demokrasi berparlimen, keluarga, politik, kebajikan masyarakat, media, hubungan antarabangsa, pentadbiran dan ketokohan beliau sebagai seorang negarawan.
Para pembaca dapat menghayati perjalanan karier Dr Mahathir dalam buku ini dengan membaca satu perspektif tulisan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim, sebagai penghargaan kepada seorang negarawan yang telah mengilhamkan laungan ‘Malaysia Boleh’.
"Che Det" akan dilancarkan secara rasmi oleh Tun Dr Mahathir dan Rais di Hotel Palace of the Golden Horses di Seri Kembangan.
Satu ruang pameran akan dibuka kepada kepada orang ramai di mana mereka boleh melihat bahan-bahan yang diterbitkan dalam buku itu.
Buku itu boleh dibeli di ruang pameran itu ataupun melalui tempahan kepada Bernama mulai 10 Nov dengan harga RM250 senaskhah.
- Bernama
Labels:
Malaysian Politik,
sejarah,
UMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment