Pages

Sunday, November 6, 2011

Mahathir: Najib masih boleh halang rancangan Muhyiddin



LANGKAWI: Mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih boleh menghalang timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, daripada memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), satu dasar yang diperkenalkan oleh pentadbirannya satu masa dahulu.

Dr Mahathir, yang masih dilihat sebagai pemimpin yang berpengaruh dalam Umno selepas berkhidmat sebagai perdana menteri selama 22 tahun, berkata Datuk Seri Najib boleh berbuat demikian demi negara, lapor laman berita The Malaysian Insider, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu pemansuhan PPSMI.

'Idea untuk kembali (menggunakan) Bahasa (Malaysia) dalam matematik dan sains akan membuat kita semua ketinggalan.



'Jika ia sesuatu yang baik bagi negara, bukan sahaja menteri pelajaran, malah (pandangan) sesiapa pun boleh ditolak,' kata Dr Mahathir kepada wartawan, di sini, semalam.

'Diharapkan orang ramai tidak terlalu marah sehingga enggan mengundi BN (Barisan Nasional),' kata Dr Mahathir lagi.Kelmarin, Tan Sri Muhyiddin berkata, keputusan kerajaan Malaysia untuk memansuhkan dasar PPSMI adalah muktamad.

Mengulas desakan beberapa pihak, termasuk Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page) Malaysia, Tan Sri Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran Malaysia, berkata pihaknya tidak akan mengadakan sebarang perbincangan lanjut mengenai isu tersebut, memandangkan kerajaan Malaysia sudah pun memutuskan untuk memansuhkan dasar itu pada 2009.

'Ia sudah pun diputuskan oleh Kabinet pada 2009 selepas dibincangkan di banyak peringkat, telah diluluskan di Parlimen, malah disokong oleh pembangkang. Tiada reaksi negatif ketika itu. Saya tidak tahu mengapa ia dibawa kembali,' kata beliau.

'Kemungkinan mereka (pihak yang mendesak) sudah ketinggalan zaman,' katanya lagi, sambil menegaskan bahawa kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan satu kumpulan kecil.

Page, sebelum ini, mendesak kerajaan Malaysia agar mengekalkan PPSMI, sambil mendakwa bahawa ramai di kalangan ibu bapa di Malaysia yang mahu PPSMI dikekalkan atau memberi pilihan kepada ibu bapa yang masih mahu mengekalkan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bagi anak-anak mereka.

Page juga telah menyerahkan satu memorandum kepada Datuk Seri Najib, minggu ini.

Sabtu lalu, Tan Sri Muhyiddin berkata, keputusan kerajaan Malaysia untuk memperkenalkan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan memansuhkan PPSMI harus dihormati dan diterima baik semua pihak.

Tan Sri Muhyiddin juga percaya bahawa dasar MBMMBI, yang dilaksanakan mulai tahun depan bagi murid Tahun 1 melalui pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu itu akan membuahkan hasil dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

No comments:

Posting Terkini