Pages

Wednesday, June 3, 2009

SEKILAS - DUNIA

Pelajar dan guru yang diculik Taleban dibebaskan

PESHAWAR: Tentera Pakistan semalam membebaskan sejumlah 80 pelajar dan guru sekolah yang diculik militan Taleban sehari sebelumnya, menurut laporan.

Seramai 71 pelajar dan sembilan guru dibebaskan selepas satu pertempuran sengit, kata ketua pentadbir bandar Banu, Encik Sardar Abbas Rind.

Jurucakap tentera, Mejar Jeneral Athar Abbas, berkata pengganas melarikan diri apabila melihat kekuatan pasukan tentera. -- AP, AFP.

25 mati di Bali dek minum tuak bercampur methanol

DENPASAR: Seramai 25 orang termasuk empat rakyat asing mati akibat minum tuak yang dicampur methanol di pulau peranginan Bali, menurut polis semalam.

Rakyat Amerika Syarikat, Cik Rose Johnson, 48 tahun; rakyat Britain, Encik Alan Cole, 57 tahun; seorang rakyat Ireland dan seorang rakyat Belanda termasuk antara mangsa yang terkorban sepanjang dua minggu lalu, kata kakitangan hospital.

Seorang lelaki setempat telah ditahan kerana membuat minuman beracun itu, kata polis. -- AFP.

Mantan menteri Iraq disiasat berkaitan rasuah

BAGHDAD: Mantan menteri perdagangan Iraq, Encik Abdel Falah al-Sudani, disoal siasat selama dua hari berhubung dakwaan rasuah melibatkan program bantuan makanan Iraq.

Tetapi tekanan kini semakin meningkat agar beliau dibebaskan dengan ikat jamin, kata seorang pegawai antirasuah semalam.

Encik Sudani, yang meletak jawatan minggu lepas, ditahan Sabtu lalu selepas pesawat yang membawanya ke Amiriah Arab Bersatu (UAE) diarah supaya berpatah balik. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini