
'(Polis) berjaya menangkap lelaki bersenjata itu tanpa sesiapa tercedera. Enam kru pesawat (yang ditahan sebagai tebusan) telah turun daripada pesawat. Lelaki bersenjata itu sudah ditahan polis,' kata Menteri Penerangan Jamaica, Encik Daryl Vaz, kepada CNN.
Pihak berkuasa berkata lelaki berusia 20 tahun yang berasal dari Montego Bay, merempuh pemeriksaan keselamatan dan merampas pesawat CanJet Airlines sekitar 10.20 malam Ahad lalu (11 pagi waktu Singapura semalam).
Dia membebaskan kesemua 174 penumpang dan dua kru dari pesawat Boeing 737 itu tetapi menahan enam kru yang lain sebelum dia ditangkap polis dan askar yang menggempur pesawat lapan jam kemudian.
Tiada sesiapa terbunuh atau cedera dalam operasi berkenaan, yang dilancarkan selepas rundingan dengan lelaki 'sakit jiwa' itu gagal.
'Rundingan tidak membawa hasil. Jadi, polis dan tentera terpaksa menyerbu pesawat dan menangkapnya,' kata Encik Vaz kepada Associated Press.
Beliau memberitahu CNN, lelaki bersenjata itu menuntut agar pesawat diterbangkan ke Cuba.
Suspek yang dikenali sebagai Stephen Fray kini ditahan pihak berkuasa.
Encik Vaz tidak memberi butir lanjut keadaan mental lelaki itu tetapi hanya berkata dia mengalami kegagalan cinta.
Krisis tebusan yang bermula sekitar 10.20 malam Ahad berakhir 6.40 pagi semalam apabila anggota Pasukan Mencegah Pengganasan Jamaica menyerbu kabin pesawat, menurut satu kenyataan polis.
Terdapat laporan yang belum disahkan bahawa satu das tembakan dilepaskan di luar pesawat, kata naib presiden CanJet Airlines, Encik Ken Woodside, dalam satu sidang akhbar semalam. Menurutnya, beberapa penumpang turut dirompak.
Encik Alphonse Gosselin, yang anak lelakinya, Christian, 30 tahun, termasuk salah seorang penumpang pesawat, berkata anaknya memberitahu bahawa perampas mengacu pistol padanya dan beberapa penumpanglain. Christian dan temanitanya termasuk sekumpulan 22 anggota keluarga yang hendak menghadiri satu majlis perkahwinan di Cuba.
'Dia hanya beritahu temanitanya supaya 'bertenang. Jangan cakap apa-apa.' Dia berkata: 'Keluarkan pasport dan kad kredit anda, letak di saku belakang. Kita akan beri dia (perampas) wang,' kata Encik Gosselin dalam satu wawancara dari Tracadie Sheila, New Brunswick.
Encik Woodside berkata kesemua 174 penumpang dalam pesawat adalah warga Canada. Menurutnya, pesawat CanJet Penerbangan 918 itu tiba dari Halifax, Nova Scotia, dan dijadual singgah di Santa Clara, Cuba, sebelum kembali ke Canada.
Perdana Menteri Jamaica, Encik Bruce Golding, dan Menteri Keselamatan Nasional, Encik Dwight Nelson, semalam tiba di Montego Bay untuk menangani krisis tersebut, kata Encik Vaz kepada pemberita.
Encik Golding bercakap kepada semua penumpang selepas mereka diberi taklimat oleh polis.
Menurut beliau, suspek yang dipercayai bersenjatakan sepucuk pistol adalah rakyat Jamaica, berusia sekitar 20 tahun, dan bapanya termasuk mereka yang membantu merundingkan pembebasan enam kru CanJet Airlines.
Para penumpang telah dibawa ke sebuah hotel, kata Encik Vaz.
CanJet bercadang menghantar sebuah pesawat lain ke Montego Bay untuk membawa pulang para penumpang yang terjejas kembali ke Canada, kata Encik Woodside.
'Ini satu situasi yang sungguh malang. Tetapi yang saya tahu para penumpang bersyukur mereka selamat. Pengalaman ini cukup mencemaskan,' jelas Encik Vaz.
Perdana Menteri Canada, Encik Stephen Harper, yang berada di Jamaica bagi lawatan sehari terkejut dengan berita itu semalam, lapor Canadian Press.
Encik Harper menghubungi Encik Golding dan 'mengucapkan tahniah kepada beliau kerana krisis tersebut dapat dihuraikan dengan berjaya' kata jurucakap Encik Harper, Encik Dimitri Soudas.
Menteri Keselamatan Dalam Negeri Jamaica, Encik Dwight Nelson, berkata lapangan terbang dijangka dibuka semula hari ini. -- Agensi.
No comments:
Post a Comment