Pages

Wednesday, November 18, 2009

Paip air bocor punca tanah runtuh Bukit Antarabangsa

SHAH ALAM: Kebocoran paip air dari saluran paip yang aktif di sepanjang jajaran rumah terbengkalai di kenal pasti punca utama tragedi tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Hulu Klang pada jam 3.30 pagi, 6 Disember 2008 yang mengakibatkan lima kematian dan 14 banglo musnah.

Jawatankuasa Teknikal Kajian Tanah Runtuh mendapati keadaan itu menyebabkan kandungan air dalam tanah di kawasan kegagalan cerun meningkat dan menyumbang kepada kejadian tanah runtuh di situ.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, ketika membacakan ringkasan laporan kajian jawatankuasa itu berkata ia adalah antara lima faktor penyumbang kejadian selain ikatan tanah yang poros pada cerun tambakan ketika pembangunan.

Katanya, ia juga berpunca daripada kurangnya penyenggaraan serta kerosakan pada sistem perparitan di kawasan kegagalan cerun dan hujan yang kerap sebelum kejadian sekitar Oktober dan November 2008.

Selain itu, katanya, rekahan berterusan menyebabkan rekahan tanah sedia ada bertambah besar dan menimbulkan rekahan baru turut dikenal pasti faktor penyumbang.

"Jawatankuasa ini mengenal pasti tiga siri gelinciran mengakibatkan tanah runtuh pada hari berkenaan yang mana setiap satu hanya berselang tiga hingga lima minit, membabitkan keluasan empat hektar," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, ringkasan laporan siasatan kejadian tanah runtuh itu akan didedahkan kepada orang ramai mulai Isnin ini dan mereka boleh mendapatkannya daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan kos berpatutan.

Katanya, status klasifikasi dokumen itu diubah dengan menggunakan haknya sebagai Menteri Besar mengikut Seksyen 2c, Akta Rahsia Rasmi.

Jawatankuasa teknikal khas yang diketuai Cawangan Kejuruteraan Cerun Malaysia, Jabatan Kerja Raya itu dibentuk bagi menyiasat punca kejadian dan mengenal pasti langkah perlu diambil.

Jawatankuasa itu turut dianggotai Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Ukur dan Pemetaan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Metereologi, Agensi Remote Sensing, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, MPAJ, Mohd Asbi & Associates dan Enceal Consultans Sdn Bhd.

Abdul Khalid berkata, jawatankuasa itu antara lain mencadangkan supaya pihak berkuasa mengenal pasti lokasi lain yang keadaan fizikalnya sama, membaik pulih sistem perparitan yang rosak dan menaik taraf longkang kecil di keseluruhan kawasan Bukit Antarabangsa.

Katanya, jawatankuasa itu juga mencadangkan supaya dipasang sistem perparitan dalam tanah di kawasan resapan air serta kandungan air dalam tanah yang tinggi, selain memasang alat pengesan dan pemantauan di kawasan berisiko tinggi.

No comments:

Posting Terkini