Friday, December 2, 2011
Najib tegaskan Umno bukan parti perkauman
PRESIDEN Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, menegaskan bahawa Umno bukanlah sebuah pertubuhan rasis atau bersifat perkauman.
'Terbukti dari dulu lagi, Umno bukanlah sebuah pertubuhan rasis. Umno sebenar dan sebetulnya adalah pencetus serta perintis kepada semangat tolak ansur antara kaum, yang akhirnya telah mencipta kestabilan sosial, membawa kepada kemakmuran nasional,' katanya.
Datuk Seri Najib, yang juga Perdana Menteri Malaysia, berkata demikian dalam ucapan dasarnya sebagai merasmikan Perhimpunan Agung Umno ke-62 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini semalam.
Menurut beliau, cadangan Datuk Onn Jaafar bagi membuka pintu Umno kepada orang bukan Melayu pernah tidak mendapat sokongan.
Namun, kepimpinan Umno ketika itu memahami realiti yang ada dan berfikir panjang dengan mencipta prinsip perkongsian kuasa unik melalui Parti Perikatan dengan menggabungkan Umno, Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC).
Beliau juga mengingatkan bahawa demi mencapai perpaduan antara parti-parti komponen, para pemimpin dan orang Umno harus tunjukkan keikhlasan berkongsi kuasa.
Tambahnya, keikhlasan itu dimanifestasikan dalam bentuk kerelaan memberi kerusi majoriti Melayu kepada parti-parti komponen untuk ditandingi.
'Tidak setakat itu sahaja, ia diikuti pula dengan kesanggupan orang Umno mengundi calon bukan daripada bangsa mereka sendiri, demi matlamat lebih besar, yakni memenangi pilihan raya, kemudian, membentuk kerajaan, seterusnya mencapai kemerdekaan,' katanya lagi.
Selain itu, Datuk Seri Najib turut membidas tuduhan pihak pembangkang yang mengatakan Umno adalah parti yang gentar terhadap demokrasi.
Sebaliknya, Umno adalah parti yang mendakap demokrasi.
'Dalam parti, mula-mula sekali kami telah membesarkan francais pemilih bagi ahli Majlis Tertinggi. Kami mahu lebih ramai orang Umno diberi hak memilih pemimpin mereka,' katanya.
Ini bertentangan dengan apa yang dilakukan pihak pembangkang, apabila pemilihan beberapa jawatan dalam parti itu tidak dilakukan secara demokratik, katanya.
Tanpa menyebut nama parti yang terlibat, Datuk Seri Najib menarik perhatian kepada dua parti yang pemegang jawatan Ketua Umum dan Mursyidul Am lebih berkuasa daripada presiden kedua-dua parti itu.
Memberikan pengamatannya tentang ucapan dasar Datuk Seri Najib, Profesor Madya Hussin Mutalib, dari Jabatan Sains Politik, Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata Datuk Seri Najib menekankan bahawa Umno bukanlah parti perkauman demi meyakinkan kaum bukan Melayu, khasnya para pengundi, bahawa memperjuangkan nasib Melayu bukanlah bererti Umno mengetepikan aspirasi dan hak masyarakat bukan Melayu.
'Ia juga adalah lanjutan falsafah dan slogan 1Malaysia, yang dicetuskan Perdana Menteri Najib, apabila kepentingan semua kaum sebagai rakyat akan sama-sama diberi keprihatinan, bukan hanya orang Melayu,' katanya,
Tambahnya, Datuk Seri Najib terpaksa mengulangi janji ini dalam usaha mendapat semula sokongan pengundi bukan Melayu, yang sejak tahun-tahun kebelakangan ini mula mengundi PKR di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment