Pages

Thursday, February 19, 2009

Bil air tertunggak RM1.9 bilion semasa Kerajaan BN - Malaysiakini

GUAR CEMPEDAK – Kerajaan negeri meminta rakyat memahami bahawa bukan mudah untuk melaksanakan perubahan setelah mengambil alih pemerintahan daripada kerajaan terdahulu.

Pegawai Perhubungan Awam dan Politik Menteri Besar, Hassan Razak berkata, antara perkara penting yang perlu diselesaikan segera ialah membayar pelbagai hutang yang mencecah berbilion ringgit.

“Setakat ini, kerajaan negeri melangsaikan hutang yang sebelum ini di bawah pembangkang (semasa UMNO/BN perintah Negeri Kedah), iaitu bekalan air sahaja sebanyak RM1.9 bilion dan masih ada baki RM2.09 bilion.

“Bukan mudah untuk menyelesaikannya, tetapi kerajaan negeri akan mencari pelbagai langkah demi kepentingan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada program sepetang bersama penduduk.

Menurut Hassan, sejak memerintah Kedah, kerajaan negeri berusaha membawa banyak perubahan dan sentiasa membela nasib rakyat sedaya upaya sebagai memenuhi kepercayaan yang diberikan rakyat.

Hassan berkata, baru-baru ini kerajaan negeri turut menubuhkan Tabung Tengku Mahmud untuk kebajikan rakyat khususnya membantu golongan miskin dan mereka yang kurang berkemampuan.

“Tabung yang dilancarkan pada 22 Ogos tahun lalu di Kuala Lumpur, kini sudah mengumpul sebanyak lebih RM8.75 juta hasil sumbangan orang ramai.

“Menteri Besar (Datuk Seri Azizan Abdul Razak) turut menyumbang RM6,500 hasil pendapatannya untuk dimasukkan ke tabung berkenaan kerana beliau ingin sentiasa membela nasib rakyat di atas kepercayaan rakyat yang memilihnya,” katanya.

Beliau turut berasa kecewa kerana ada beberapa media yang lebih gemar melaporkan perkara negatif berkaitan kerajaan negeri sekarang, tetapi tidak melaporkan kebaikan yang dilakukan.

Selain menubuhkan tabung untuk kebajikan rakyat, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM350 juta untuk membina Kolej Insaniah yang acara pecah tanahnya dijangka dirasmikan Menteri Besar pada 18 Februari ini.

“Dengan adanya kolej ini, dapat memberi peluang terutama anak-anak Kedah melanjutkan pelajaran,” katanya.

Pada majlis sama, Ahli Parlimen Baling, Taib Azzamuddin yang turut hadir berkata, sebanyak 10 cawangan Pas telah ditubuhkan di daerah Baling sahaja.

“Sebelum ini sebanyak 138 cawangan sudah ditubuhkan, dan dengan pertambahan ini, dapat memudahkan penduduk untuk lebih aktif menjalankan aktiviti seperti ceramah dan kelas agama,” katanya.

Taib turut menghulurkan sumbangan peralatan dapur kepada ketua cawangan kampung berkenaan, Mustapha Salleh untuk kemudahan penduduk memasak secara bergotong-royong bagi menjayakan sebarang acara.

No comments:

Posting Terkini