Pages

Thursday, November 1, 2012

Tayangan 'Tanda Putera' ditunda


Tayangan 'Tanda Putera' ditunda
DITANGGUH LAGI: Filem 'Tanda Putera' dibintangi pelakon (dari kiri) Zizan Nin, Kamarulzaman Taib, dan Rusdi Ramli. - Foto SHUHAIMI BABA

KUALA LUMPUR: Tayangan awam filem Tanda Putera yang menyelitkan rusuhan 13 Mei 1969 telah ditangguhkan dan mungkin hanya masuk ke layar perak selepas pilihan raya umum akan datang.
Laman berita The Malaysian Insider difahamkan bahawa pegawai kanan kerajaan dan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak mahu sebarang gangguan dan potensi masalah sehingga pilihan raya, yang berkemungkinan besar akan diadakan pada suku pertama 2013.
Filem yang menelan belanja RM4.8 juta ($1.9 juta) dan dibiayai dengan dana awam itu pada mulanya akan ditayangkan di pawagam pada 13 September lalu tetapi ditangguhkan ke 17 November ini.

"Terdapat terlalu banyak kontroversi mengenai filem ini dan pihak berkuasa memutuskan tayangannya kemudian," kata sumber dalam kerajaan.
"Putrajaya mahu mengelakkan sebarang potensi masalah. Perasaan rakyat lebih penting daripada syarikat produksi filem," katanya.
Tanda Putera menceritakan mengenai Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, dan timbalan beliau, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, dalam tempoh pasca 13 Mei.
Datuk Seri Najib ialah anak sulung Tun Abdul Razak.
Pengarah filem tersebut, Datin Paduka Shuhaimi Baba, mengesahkan bahawa filem tersebut tidak akan ke pawagam pada bulan depan seperti yang dirancang.
"Tarikh baru hanya pada tahun 2013 dan tiada lagi slot bagi tahun ini," katanya kepada laman berita Malaysiakini.
Sebelum ini, beliau pernah menafikan dakwaan bahawa tarikh tayangan filem itu dikaitkan dengan PRU 13.
Pada 23 Oktober lalu, Senator Datuk Maglin Dennis D'cruz memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan percaya dengan kematangan generasi muda sekarang dan filem itu perlu mengetengahkan paparan sejarah dalam filem secara berkesan dan tepat.
"Walaupun ia menyentuh mengenai isu perkauman yang sensitif, tragedi 13 Mei telah menjadi satu insiden penting dan rakyat Malaysia perlu mengambil perhatian dan dijadikan sebagai satu contoh betapa pentingnya keharmonian kaum di negara ini," katanya.
Datin Shuhaimi sebelum ini bagaimanapun telah menafikan Tanda Putera mempromosikan agenda Melayu.
Ia juga tidak memaparkan mana-mana watak pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP), seperti Encik Lim Kit Siang yang digambarkan secara negatif sepertimana dikatakan oleh sesetengah blog Umno untuk memburukkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR).
Pemimpin pembangkang itu didakwa membuang air kecil pada tiang bendera di kawasan kediaman Menteri Besar Selangor di Kuala Lumpur sebelum rusuhan 13 Mei 1969.

No comments:

Posting Terkini